Seorang remaja yang mempunyai masalah kesihatan hanya sempat pulang ke rumah selama empat hari sebelum menghilangkan diri semula dari kediaman keluarganya di Kampung Desa Murni Kerdau, di sini.
Muhammad Fikri Abdullah, sebelum ini hilang selama 14 hari dan hanya ditemui semula di Balai Polis KLIA pada 30 April lalu selepas keluar dari rumah pada 16 April.
Ibunya, Surina Jaafar, 39, berkata, Muhammad Fikri hilang kali kedua awal pagi semalam kira-kira jam 3 pagi ketika dia tinggal bersama kenalan keluarga di sebuah kedai mencuci kereta.
“Kelmarin, Muhammad Fikri maklumkan dia nak kerja, walaupun kami halang sebab bimbang dia akan lari lagi tetapi disebabkan dia meronta-ronta kami hantar juga di sebuah kedai mencuci kereta di Mentakab.
“Saya hantar dia di situ jam 8 malam, kira-kira jam 2.30 pagi kami dapat panggilan daripada kawan yang jaga dia beritahu Muhammad Fikri hilangkan diri, saya dan kenalan serta keluarga puas cari dia, tapi masih tak jumpa,” katanya.
Menurutnya, kali ini sudah dua kali Muhammad Fikri melarikan diri daripada keluarga selepas kali pertama berbuat demikian pertengahan bulan lalu.
Katanya, Muhammad Fikri anak sulungnya mempunyai masalah kesihatan diabetes dan otak kiri tidak berfungsi selepas jatuh di dalam bilik air rumah datuknya awal tahun lalu.
“Dia kena selalu makan ubat, sekarang dia pergi tanpa makan ubat, keluar rumah sehelai sepinggang hanya ada bekalan RM40 dalam poketnya.
“Report polis yang lama sudah tutup tetapi sekarang kena buat report baharu pula,” katanya ketika dihubungi semalam.
Surina dan keluarga berharap, orang ramai yang terserempak dengan Muhammad Fikri dapat menghubunginya di nombor 011-12964715.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor