Pages

Friday, May 1, 2015

ROMPIN : RM300 JUTA NAIK TARAF JALAN GAMBANG - PALOH

Fadillah Yusof


Kerajaan telah meluluskan peruntukan lebih RM300 juta bagi projek menaik taraf fasa pertama Laluan Persekutuan 12 (FR 12) dari Gambang, Kuantan ke Paloh Hinai, Pekan di negeri ini yang akan dilaksanakan selewat-lewatnya September ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, laluan ini akan diperbesarkan daripada dua lorong kepada empat lorong dengan proses tender telah dimuktamadkan.

"Sekarang hanya tinggal rundingan harga dengan kontraktor. Ia mengambil masa agak lama berikutan harga tender yang ditawarkan lebih daripada harga siling ketika tender dibuka," katanya dalam lawatan sehari di sini hari ini, termasuk melawat Pusat Daerah Mengundi Pianggu di Kampung Setajam.

Fadillah berkata, projek fasa pertama dijangka mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk menyiapkannya.

“Kementerian itu juga telah mengemukakan permohonan fasa kedua projek tersebut dalam Rancangan Malaysia Ke-11, iaitu tambahan 100 kilometer jarak laluan untuk dinaik taraf sehingga Segamat, Johor,” katanya.

Fadillah berkata, anggaran awal bagi keseluruhan projek berkenaan, termasuk fasa pertama dan kedua adalah RM1.2 bilion.

Beliau turut menolak dakwaan pembangkang bahawa kerajaan tidak memperdulikan masyarakat Rompin, malah berkata kerajaan persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta kepada jurutera daerah Rompin awal tahun ini bagi melakukan penambahbaikan dan penyelenggaraan jalan-jalan kawasan Parlimen Rompin, termasuk jalan mendap.

Beliau berkata, bagaimananapun kerja-kerja pembaikan jalan mengambil masa yang agak lama kerana kementerian harus mengenal pasti tanah yang perlu diambil, selain membuat penyelidikan mengenai jajaran jalan serta mengambil kira kesannya ke atas ekonomi, alam sekitar dan sosial setempat.

PRK Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Datuk Hasan Arifin dan calon Pas, Nazri Ahmad bagi mengisi kekosongan kerusi itu selepas penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor