Pages

Friday, May 1, 2015

ROMPIN : MASALAH HAK MILIK TANAH PENEROKA 80% SELESAI




MUADZAM SHAH - Hampir 80 peratus masalah hak milik tanah 43,123 peneroka melibatkan 117 tanah rancangan Felda di Pahang berjaya diselesaikan oleh kerajaan negeri.‎

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 36,567 orang peneroka yang terlibat telah pun menerima surat hak milik tanah yang sekali gus menunjukkan kerajaan tidak pernah memperdayakan peneroka dalam soal itu, seperti didakwa pembangkang.

"Dahulu mereka kata geran tak akan keluar, Felda tipu peneroka. Ini semua tak betul. Proses mengeluarkan geran melibatkan banyak pihak, Pejabat Tanah, Felda, Pejabat Tanah dan Galian, selain memerlukan pelbagai peralatan untuk tujuan kerja mengukur tanah.

"Sehubungan itu saya minta masyarakat Felda supaya bijak buat pertimbangan dan teliti dahulu dakyah yang didengar daripada pihak berkenaan sebelum mempercayainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian Suratan Hak Milik Tanah Peneroka Felda Keratong 10 kepada 308 peneroka di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Datuk Abu Bakar Harun dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin.

Adnan berkata, di Rompin sendiri terdapat 6,493 peneroka di 17 tanah rancangan dan daripada jumlah itu 5,029 orang ataupun 70 peratus sudah mendapat surat hak milik.

"Bakinya 1,156 orang masih dalam proses semakan dan kelulusan Pejabat Tanah Daerah Rompin. Majlis penyerahan surat hak milik tanah yang kita lakukan hari ini bukanlah gimik pilihan raya kerana memang ikut jadual tiba giliran peneroka di Felda Keratong 10 untuk menerima surat hak milik ini," katanya.

Pada bulan depan, kerajaan akan memberikan surat hak milik kepada lima lagi tanah rancangan Felda iaitu 220 peneroka di Felda Lepar Hilir Tiga, Felda Tembangau 1 (279 peneroka), Felda Tembangau 2 (253 peneroka), Felda Rentam (430 peneroka), dan Felda Mengkuang ( 99 orang).

Jumlah keseluruhan yang bakal menerima surat hak milik pada Mei ini ialah 1,281 orang, katanya.

Sehubungan itu Adnan berkata, peneroka seharusnya sedar bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak pernah mengabaikan kebajikan mereka dan mereka perlu membuat pilihan yang tepat semasa pengundian pada 5 Mei ini untuk memastikan kelangsungan pembangunan untuk golongan peneroka Felda.




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor