Apabila diumumkan calon Barisan Nasional untuk pilihanraya kecil Rompin, penulis mendapat pelbagai maklum balas, samada melalui aplikasi What’sApp, Facebook dan sebagainya.
Secara jujurnya, kritikan yang agak keras dilemparkan kepada kepimpinan Barisan Nasional atas alasan retorik peremajaan parti. Hujah mereka, Barisan Nasional masih bersikap ortodoks, dan tidak belajar dari seterus politik mereka. Mahu sahaja penulis menjawab barisan pimpinan Pakatan seperti Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim, Karpal Singh (mendiang), dan ramai yang lagi orang lama dan bertaraf recycled sering digunakan oleh mereka. Namun, penulis biarkan sahaja, demi melihat telatah orang kita.
Paling ketara, kita boleh membaca status-status di Facebook, yang akhirnya penulis dapati pemilik status berkenaan adalah mereka yang samada menjawat jawatan di dalam Pemuda UMNO, atau “sangat mesra” kepada pimpinan Pemuda. “Tiada peremajaan parti”, “peremajaan parti hanyalah retorik” dan sebagainya.
Gelojoh si pemuda, tanpa melihat konteks dan senario sebenar yang sedang dihadapi oleh parti keramat mereka, bahawa mereka akan berhadapan dengan 2 pilihanraya kecil. Jika pemuda ingin berhujah, bahawa mereka vokal, darah panas dan tipis had kesabarannya dalam hal mengkritik , maka ingin penulis jelaskan, janganlah memalukan status pemimpin yang mereka miliki.
Kritikan berkenaan calon BN di Rompin tidak “remaja” sama sekali kini sudah terlerai apabila orang muda telah dipilih sebagai calon BN di Permatang Pauh. Penulis pasti, ramai yang bersyukur, tidak kurang pula yang malu-malu alah kerana terlalu keras mengkritik kepimpinan parti pada pemilihan calon BN untuk Rompin. Kepada yang tidak malu, mungkin mereka merasa kritikan mereka itulah menyebabkan Barisan Nasional memilih calon muda di Permatang Pauh.
Ingin penulis pesan, perhatikan apa yang bakal dihadapi dan jangkaan, jangan melulu terus mengemaskini status di laman media sosial.
Sehingga jam 7.10 malam, penulis masih belum terjumpa lagi golongan “orang muda” ini yang berterima kasih kepada kepimpinan Barisan Nasional atas pemilihan calon seperti yang mereka mahukan. Sebaliknya, penulis digemparkan pula dengan dakwaan wujudnya gerakan untuk menjatuhkan Perdana Menteri yang dikepalai oleh pemimpin kanan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bersama 4 lagi rakannya.
Tidak dapat calon, mereka kritik. Diberi peluang wakili parti di Permatang Pauh, tiada yang berterima kasih. Malah, jika mengikut dakwaan tersebut, Perdana Menteri pula yang ingin disingkirkan.
Janganlah kufur nikmat, dan janganlah kufur iktikad perjuangan. Lebih baik fokus kepada jentera pemuda untuk membantu sehabis baik kedua-dua calon BN di Rompin dan Permatang Pauh. Bukan sebaliknya!
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor