Pages

Monday, April 13, 2015

POLIS TAHAN ANGGOTA 'STOPA POHON SETO'


Mazlan Lazim



Kota Bharu - Pasangan kekasih geng samun 'Stopa Pohon Seto' ditahan polis dalam serbuan di hadapan Sekolah Kebangsaan Bukit Marak, Binjai, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, lelaki berusia 43 tahun dan wanita berusia 28 tahun itu berjaya diberkas selepas bertindak agresif mengundurkan kenderaan jenis Satria Neo dan cuba melanggar anggota polis serta merempuh kereta Pajero pihak berkuasa.

"Akibat terancam dengan tindakan ganas suspek, anggota serbuan melepaskan dua das tembakan ke tayar kereta bertujuan memancitkan tayar dan menghentikan suspek. 

"Pemeriksaan dalam kereta menjumpai pelbagai barangan dipercayai digunakan untuk kegiatan samun termasuk senjata tajam iaitu parang, pisau dan kain yang diubah suai menjadi topeng muka," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut juga menjumpai sebotol heroin, enam pil kuda dan wang tunai RM1,000 serta pelbagai barang berharga seperti gelang emas berlian, jam berjenama dan beberapa telefon pintar.

"Kedua-dua pasangan ini juga positif dadah jenis Amphetamine. Kereta yang dinaiki suspek dalam kejadian itu adalah kereta curi.

"Suspek dipercayai terbabit dengan lapan kes samun, ragut dan curi kenderaan. Mereka direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksan (KK) (cubaan bunuh) 395/397 KK (samun bersenjata) dan 379A KK (curi kenderaan bermotor)," katanya.

Dalam pada itu, Mazlan turut menafikan berlaku kejadian berbalas tembakan antara suspek dan polis seperti status yang menjadi viral di laman sosial Facebook.

"Angka empat penjenayah yang ditahan juga tidak benar, sebaliknya hanya dua yang diberkas pihak berkuasa," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor