Pages

Thursday, April 9, 2015

KUANTAN: TIGA HARI TEMPOH BERI PENJELASAN CAJ PERKHIDMATAN


 Caj perkhidmatan: Tiga hari tempoh beri penjelasan
 
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang mengeluarkan notis kepada tiga premis perniagaan yang mengenakan caj perkhidmatan kepada pengguna.

Pengarahnya, Sharuddin Jali berkata, premis yang mengenakan caj perkhidmatan tersebut perlu membuat penjelasan dalam tempoh tiga hari mengenai caj yang dikenakan.

Menurutnya, pengusaha yang mengenakan caj perkhidmatan perlu mengemukakan bukti yang kukuh mengenai agihan caj perkhidmatan sama ada di bayar kepada pekerja atau tidak.

“Tiga notis yang dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan memandangkan caj perkhidmatan tidak boleh dikutip dengan sewenang-wenangnya.

“Ia haruslah mempunyai perjanjian antara peniaga dan kesatuan pekerja di bawah mereka, jika tidak mereka tidak berhak mengenakan caj berkenaan,” katanya selepas Ops Catut Caj Perkhidmatan di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah KPDNKK Pahang, Alwi Abdul Hamid.

Sharuddin berkata, pihaknya akan teruskan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan.

Beliau berkata, sektor perkhidmatan restoran dan perhotelan antara sektor yang banyak mengenakan caj perkhidmatan kepada pengguna.

Dalam pada itu katanya, pihaknya menerima 90 aduan melalui e-aduan berkaitan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) seperti kad prabayar dan tanda harga.

“Manakala aduan yang diterima bilik gerakan pula berjumlah 67 aduan dan 51 daripadanya dipanjangkan kepada Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

“Berdasarkan aduan, kita menjalankan siasatan terhadap semua aduan yang diterima,” katanya.

Sharuddin berkata, sejak 1 April lalu, KPDNKK menjalankan 2,597 pemeriksaan premis dan dua kes dikesan membabitkan Akta Sukat dan Timbang selain tanda harga.

Pada Ops itu, sebanyak 12 premis diperiksa sepanjang dua jam operasi dijalankan.
 

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor