PERMATANG PAUH - BN mengumumkan Suhaimi Sabudin sebagai calonnya yang akan bertanding dalam PRK Parlimen Permatang Pauh 7 Mei ini.
Ia diumumkan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Pengerusi BN dalam majlis khas di pusat operasi BN di Perda City Mall, Bandar Perda di sini petang ini.
Dilahirkan pada 25 Oktober 1971, Suhaimi, 44, adalah anak ketiga dari tujuh beradik dan terlibat aktif dalam bidang politi selain seorang kontraktor yang berjaya.
Kini memegang jawatan sebagai Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh.
Mendapat pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Guar Perahu dan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Penanti.
Kemiliki ijazah sarjana muda dalam bidang seni bina dan ukur bahan Universiti Teknologi Malaysia Skudai, Johor.
Suhaimi mendirikan rumah tangga bersama Firyal Harlina Hanapiah, 40, dan dikurniakan empat cahaya mata.
Turut hadir di majlis itu ialah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengarah pilihan raya PRK Permatang Pauh; Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel dan Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman.
PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui ahli keluarganya, sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Permatang Pauh pada 7 Mei, penamaan calon 25 April manakala pengundian awal 3 Mei.
Dalam PRU13, Anwar yang juga Ketua Umum PKR memperolehi 30,348 undi menewaskan calon BN, Dr Mazlan Ismail dengan 25,369 dan calon bebas, Dr Abdullah Zawawi Samsudin yang hanya mendapat 201 undi.
Anwar mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 11,721 undi dan sekali gus meletakkan Permatang Pauh terus berada dalam pengaruh PKR sejak 1999 yang ketika itu diwakili isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizan Wan Ismail yang juga Presiden PKR.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor