Pages

Wednesday, March 18, 2015

WARGA EMAS RENTUNG DEPAN BILIK AIR


Warga emas rentung depan bilik air


Tanah Merah - Seorang wanita warga emas berusia 86 tahun rentung dalam kebakaran membabitkan tiga rumah papan di Lorong Tok Janggut, Kampung Banggol, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Embong Othman ditemui rentung di depan bilik air di rumah anaknya yang terletak bersebelahan rumahnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Penolong Penguasa Bomba, Hanaffi Mohd berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.31 tengah hari sebelum 10 anggota dan tiga jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

“Apabila sampai di tempat kejadian, api sudah marak dan merebak dengan cepat kerana cuaca kering sebelum api dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 1.20 tengah hari,” katanya, semalam.

Menurut Hanaffi, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk urusan pengebumian.

“Selain tiga rumah, dua kereta dan empat motosikal turut hangus dalam kebakaran. Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu menantu mangsa, Hasnah Deraman, 61, berkata, dia terkilan kerana gagal menyelamatkan ibu mentuanya walaupun dapat mendengar wanita itu menjerit minta tolong.

“Apabila lihat api, saya terus seret suami yang uzur dan enam cucu keluar dari rumah untuk selamatkan diri tapi bila nak masuk selamatkan mak (Embong), api sudah marak.

“Saya dapat dengar suara dan nampak tangan dia melambai minta tolong tapi kami tak dapat buat apa-apa, itu yang buat saya rasa terkilan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor