PETALING JAYA - Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim akui tidak pasti sama ada Penasihat PKR itu menerima rawatan di hospital penjara atau tidak.
Anaknya, Nurul Izzah berkata, peguam hanya memaklumkan Anwar dipindahkan ke hospital penjara namun tidak dimaklumkan keadaan bapanya itu.
"(Anwar dirawat?) Saya tidak pasti kerana kami tidak dibenarkan bertemu dengan beliau. Kami hanya dibenarkan (berjumpa) pada 13 Februari dalam pertemuan tanpa bersentuhan ketika itu selama 45 minit.
"Jadi, kami agak kecewa kerana tidak ada tindak balas yang berkesan dalam memperjelaskan keadaan dan kedudukan beliau.
"Saya sangat kecewa dengan pihak berkuasa. Mereka tidak 'sense' untuk memaklumkan kepada keluarga," katanya kepada Sinar Online ketika ditemui selepas sidang media bersama pimpinan PKR di sini, hari ini.
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan Anwar dipindahkan ke hospital penjara Sungai Buloh dan ditempatkan di hospital setelah diperiksa oleh doktor.
Menurut Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, mereka dijadualkan menemui Anwar pada 12 Mac depan.
"Kami akan tertunggu-tunggu sesi seterusnya iaitu pada 12 Mac untuk bertemu dengan ayah yang kami kasihi.
"Tak pasti lagi jam berapa kami dibenarkan bertemu beliau. Pihak penjara akan maklumkan mengikut kad...masa dan sebagainya," katanya.
Mengulas lanjut, Izzah berkata pihaknya dimaklumkan bahawa kadangkala Anwar akan berada dalam pemerhatian selama 24 jam dengan dua pengawal berjaga di hadapan selnya termasuk pemantauan kamera litar tertutup (CCTV).
Izzah memberitahu kali terakhir keluarganya bertemu Anwar adalah pada hari pengebumian bekas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 13 Februari lalu.
Sementara itu, menurut portal rasmi Jabatan Penjara Malaysia, terdapat dua jenis lawatan iaitu lawatan permulaan atau penerimaan dan lawatan peringkat.
"Mana-mana banduan yang baru masuk penjara boleh dibenarkan untuk dilawati oleh keluarga terdekat sekali dalam tempoh empat minggu selepas diterima masuk.
“Selepas tempoh itu, lawatan dikategorikan sebagai perjumpaan peringkat dan tiada lawatan penerimaan bagi banduan-banduan yang dipindahkan,” tulis portal tersebut.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor