Pages

Thursday, March 19, 2015

RAKAN PR JANGAN HALANG PELAKSANAAN HUDUD


Rakan PR jangan halang pelaksanaan hudud


Kota Bharu - Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah meminta rakannya dari pakatan pembangkang supaya memberi laluan kepada Pas bagi melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di negeri itu.

Beliau berkata kerajaan negeri Kelantan tidak akan berhenti untuk melaksanakan kanun berkenaan yang juga dikenali hukum hudud kerana ia sudah lama ditangguhkan iaitu sejak diluluskan pada 1993.

"Sama ada PKR atau DAP tidak setuju, itu cerita lain. Kalau DAP tidak setuju itu hak dia dan kita tidak ingin pertikaikanya," katanya kepada pemberita selepas persidangan Dun Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini, semalam.

Mohd Amar berkata pelaksanaan hudud di negeri ini bukan berdasarkan sokongan mana-mana parti kerana ia membabitkan agama Islam.

"Cuma kita minta jangan menghalang ... biarkan proses demokrasi ini berjalan ... kalau dia nak bahas pun tidak mengapa tetapi biar tentu usul ini ditolak di Parlimen baru kita akan puas hati.

"Saya minta semua wakil rakyat Islam tak mengira parti supaya bersama-sama dengan kita bila kita (Pas) bawa rang undang-undang persendirian (berkaitan pelaksanaan undang-undang hudud) ke Parlimen kelak," katanya.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob semalam membentangkan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) bagi membolehkan undang-undang hudud dilaksanakan di Kelantan selepas ia ditangguhkan lebih 20 tahun lalu.

Pindaan yang dibentang dan dibahaskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan semalam akan diputuskan hari ini.

Pindaan kanun itu menyentuh mengenai kesalahan jenayah syariah hudud, qisas dan takzir dan ia hanya terpakai untuk orang Islam yang mukallaf yang melakukan kesalahan di Kelantan.

Jenis kesalahan hudud yang termaktub dalam pindaan hari ini ialah sariqah (mencuri), hirabah (merampas harta orang lain dengan kekerasan), zina dan liwat, qazaf (tuduhan zina atau liwat), syurb (meminum arak) dan irtidad (murtad).

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor