"Saya tak pasti wujud atau tak `piramid' di dasar Tasik Chini tetapi binaannya mungkin ada dalam tasik ini," demikian kata Tok Batin Kampung Gumum, Awang Alok.
Berusia 74 tahun, beliau yang sudah menetap di perkampungan Orang Asli itu sejak 50 tahun lalu, berkata sekumpulan pengkaji sejarah dari Asia Barat pernah mengunjungi kawasan berkenaan pertengahan tahun 80-an untuk melakukan penyelidikan.
"Mereka datang untuk cari bukti kewujudan binaan, mungkin ada kaitan dengan dakwaan kewujudan piramid di sini.
"Ketika itu, saya pernah ikut mereka menjelajah Tasik Chini dan ditunjukkan beberapa lokasi yang dipercayai ada kaitan dengan kajian mereka. Bagaimanapun, mereka tidak lagi datang selepas dua minggu berada di sini," katanya ketika ditemui di kediamannya.
Awang berkata, kumpulan penyelidik itu mendakwa mereka adalah kumpulan sama yang terbabit dalam kajian mengenai binaan piramid yang banyak ditemui di Timur Tengah.
Katanya, berdasarkan kenyataan dimaklumkan kumpulan berkenaan, beliau percaya binaan piramid berkemungkinan besar turut wujud di dasar Tasik Chini.
"Mungkin kumpulan itu ada asasnya untuk datang ke sini dan melakukan kajian. Saya tidak banyak bertanyakan mereka mengenai penyelidikan yang mereka buat tetapi mereka kelihatan amat mahir dalam bidang itu.
"Mereka menggunakan sejenis alat yang diturunkan ke dasar tasik untuk mengesan bentuk binaan dan ada ketikanya, mereka seolah-olah berpuas hati seperti menemui benda yang mereka cari," katanya.
Awang turut membawa wartawan BH menyusuri tasik itu dan berhenti di beberapa lokasi yang dipercayai turut dikunjungi kumpulan penyelidik berkenaan.
Sepanjang berada dalam bot ketika menjelajah Tasik Chini, Awang banyak berdiam diri dan cuma menggunakan isyarat mulut atau tangan untuk menunjukkan beberapa lokasi yang didakwa ada kaitan dengan kewujudan piramid.
Mungkin ia pantang-larang Orang Asli untuk tidak bercakap atau mendedahkan lokasi terbabit ketika berada dalam bot.
Awang bagaimanapun kembali memulakan ceritanya sebaik kami kembali ke daratan selepas kira-kira dua jam menjelajah tasik.
"Ada lokasi yang kita lalui tadi berkaitan dengan mitos atau kepercayaan lama Orang Asli. Terdapat satu kawasan di tasik berkenaan yang airnya lebih tenang berbanding kawasan lain. Di situ, penduduk kampung dan Orang Asli pernah ternampak objek seperti keranda yang akan timbul setiap kali hujan panas.
"Pada bahagian penjuru tasik sebelum kita memasuki kuala, ada binaan seperti dinding yang kami percaya sebahagian daripada bandar lama yang tenggelam di dasar tasik ini," katanya.
Awang berkata, kebanyakan perkara aneh yang berlaku di kawasan tasik ini ada kaitan dengan 'celau' atau kesilapan manusia.
Katanya, kisah misteri dan keunikan di sekitar tasik ini dirosakkan oleh pembangunan tanpa perancangan yang baik.
"Mengikut kisah asal, semua bukit yang mengelilingi Tasik Chini dijaga seorang 'Puteri' yang sangat cantik. Ada peneroka asal pernah terlihat kelibat 'Puteri' ini dan mungkin ia ada kaitan dengan mitos mengenai naga yang menjaga Tasik Chini.
"Sebelum ini, ada juga orang mendakwa pernah menemui jongkong emas di kawasan lapang, seberang tasik ini. Namun, mereka tidak sempat mengambilnya kerana dihalang oleh seekor 'kerbau' yang muncul secara misteri," katanya.
tasek chini mmg penuh misteri..
ReplyDeleteArtikel yang sangat bermanfaat sekali, semoga artikel ini juga bermanfaat untuk orang yang sudah membaca.
ReplyDelete.