Pages

Tuesday, March 10, 2015

NURUL IZZAH BELUM CUKUP SYARAT GANTI ANWAR


Nurul Izzah Anwar


Shah Alam - Anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah Anwar masih belum cukup syarat untuk menggalas jawatan ayahnya di Parlimen sebagai Ketua Pembangkang.

Meskipun Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR akan bertindak sebagai ‘ketua pembangkang’ untuk membacakan ucapan bagi membahaskan titah Diraja di Dewan Rakyat, penganalisis berpendapat perkara itu lebih kepada statusnya sebagai anak kepada Anwar.

Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir berkata, suasana itu mampu untuk meraih sokongan dan simpati ekoran Ahli Parlimen Lembah Pantai itu mempunyai pertalian darah dengan Anwar.

“Lebih baik untuk anak dia yang menyampaikan isi hati Anwar untuk meraih sokongan dan simpati orang ramai,” katanya kepada Sinar Online, semalam.


Katanya, beliau tidak melihat Nurul Izzah akan mengambil alih tugas ketua pembangkang untuk jangka panjang, sebaliknya hanya untuk jangka pendek.

“Untuk sementara waktu tidak ada masalah kerana ia sesuai dengan tempoh transisi sekarang dan emosi penyokong Anwar yang masih lagi memuncak.

“Anaknya yang paling sesuai untuk sementara waktu mengungkapkan sesuatu yang mungkin menyentuh hati orang selain dari mengemukakan pandangan-pandangan Anwar,” katanya.

Sementara itu, Dr Jeniri berpandangan belum tiba masa untuk Nurul Izzah memegang jawatan itu ekoran ramai lagi pemimpin lain dalam PR yang lebih berpengalaman berbanding dirinya.

“Jadi, untuk Nurul Izzah terus memegang jawatan itu, belum sampai waktunya. Ramai lagi pemimpin lain yang lebih layak dan berpengalaman dalam bidang politik. Jadi, saya tidak menjangkakan beliau akan diberikan tugas berat itu.

“Ketua Pembangkang itu bukan saja perlu bijaksana, matang dari segi emosi dan mempunyai daya ketahanan yang tinggi,” katanya.

Anwar tidak dapat menghadiri sidang Parlimen berikutan menjalani hukuman penjara kerana dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sedang mengemukakan pengampunan Diraja yang dipohon oleh keluarganya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor