Bintulu - Pelaksanaan projek lebuh raya Pan Borneo bernilai RM27 bilion dengan jarak 1,633 kilometer dari Sarawak ke Sabah adalah bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) menepati janji dalam manifesto pilihan raya umum pada 2013.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan BN tidak akan menjanjikan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan kerana ini melibatkan harapan rakyat yang mengundi BN.
"Saya berhasrat memenuhi janji saya (projek lebuh raya Pan Borneo) dan esok ia akan ditunaikan," katanya di majlis makan malam sempena lawatan dua hari ke Bintulu mulai Isnin.
Najib memberi jaminan pelaksanaan projek lebuh raya Pan Borneo di Sarawak akan mengutamakan kepentingan rakyat tempatan dengan peluang pekerjaan dan syarikat Sarawak diberi keutamaan.
"Esok saya akan terangkan dengan lebih lanjut mengenai projek lebuh raya Pan Borneo," katanya sambil menyatakan keyakinan sokongan rakyat Sarawak kepada BN semakin kuat selepas pelaksanaan projek lebuh raya ini nanti.
Ketua menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem juga menyentuh mengenai pelaksanaan projek lebuh raya Pan Borneo yang merupakan janji yang lama dinanti-nantikan rakyat Sarawak.
"Ia akan menjadi projek kejuruteraaan terbesar pernah dilaksanakan di Sarawak," katanya.
Adenan berkata sebaik sahaja projek itu siap, ia akan membuka lebih banyak peluang ekonomi untuk Sarawak dan Sabah.
"Kami menjangkakan menjadi sama, daripada segi pembangunan, dengan semenanjung, dalam tahun-tahun akan datang," katanya sambil menambah bahawa Sarawak kini berada di landasan untuk menjadi negeri perindustrian.
Beliau berharap kontraktor Sarawak yang dilantik melaksanakan projek lebuh raya untuk menyahutnya sebagai satu cabaran dan menunjukkan kualiti kerja yang setanding dengan rakan mereka di semenanjung.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor