Pages

Monday, March 30, 2015

KECEWA ANAK GADIS DITANGKAP KHALWAT


'Cakap lain, buat lain'


Alor Setar - Luluh hati si bapa apabila menerima khabar anak perempuannya ditangkap khalwat di sebuah bilik di hotel bajet di Simpang Kuala, di sini.

Lebih mengecewakan, si anak berusia 23 tahun itu sanggup menipu ibu bapanya untuk keluar dari kediaman mereka di Pendang semata-mata mahu menemui kekasih hatinya.

Tidak dapat menahan kekecewaan, si bapa mengutarakan ayat sama berulang kali, sekali gus mempamerkan rasa hampa mengenangkan sikap anaknya.

“Cakap lain, buat lain,” berulang kali ayat ini disebut si bapa selepas mengetahui anak perempuannya ditahan bersama seorang lelaki berusia 25 tahun kira-kira jam 1.03 pagi, kelmarin.

Ketika pintu bilik mereka diketuk, gadis berkenaan lengkap berpakaian namun, tidak bertudung membuka pintu manakala teman lelaki berada berdekatan motosikal yang dibawa masuk dalam bilik itu.

Sewaktu disoal, pasangan berkenaan memberikan alasan sudah bertunang dan menyewa bilik hotel bajet berkenaan hanya untuk 30 minit sahaja.

Namun, alasan itu tidak diterima anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) memandangkan mereka tiada hubungan sah.


Empat kali dicekup khalwat

Sementara itu, seorang lelaki berusia 50 tahun bersama pasangannya berusia 30 tahun pula ditahan dalam serbuan berasingan kira-kira jam 1.30 pagi di sebuah bilik hotel murah di Jalan Putra, di sini.

Biarpun baru ditahan Februari lalu kerana disyaki berkhalwat sebelum ini namun, kedua-dua mereka seakan-akan tidak serik melakukan kesalahan sama.

Difahamkan, lelaki yang merupakan suami orang itu manakala wanita memiliki seorang anak berkenaan sudah ditahan sebanyak empat kali.

Namun menyedihkan, seolah-olah tidak insaf atas perbuatan mereka, kali ini wanita berkenaan hamil semula dipercayai anak luar nikah hasil hubungan terlarang itu.

Ketika disoal, mereka memberikan alasan menjalani kehidupan sedemikian berikutan wanita itu tidak bekerja dan lelaki terbabit membantu menjaga dia dan anaknya.

Bagaimanapun, wanita dan lelaki yang bekerja sebagai pembantu kedai memaklumkan mereka bercadang untuk berkahwin nanti.


Mak nyah bertempiaran lari

Dalam serbuan berasingan, sekumpulan mak nyah bertempiaran lari menyelamatkan diri daripada dicekup di port terkenal mereka, Lorong Kereta Api, di sini.

Dalam kegelapan malam, kebanyakan mak nyah tidak mengendahkan bahaya sehingga sanggup melarikan diri dalam semak-samun.

Bagaimanapun, tindakan pantas anggota penguatkuasa membuat kepungan menggagalkan usaha beberapa mak nyah melarikan diri mereka.

Penolong Pengarah Penguatkuasa Undang-Undang Jaik, Syeikh Mohd Roshidi Mahmud berkata, dua mak nyah dapat ditahan dalam operasi berskala yang turut disertai 26 anggota penguatkuasa Jaik.

Mohd Roshidi berkata, pihaknya mengambil berat isu mak nyah di kawasan berkenaan, sekali gus sentiasa memantau aktiviti mereka.

“Kita berusaha mengambil tindakan seperti memantau gejala sebegini supaya tidak melarat, sekali gus memastikan bandaraya Alor Setar bersih dan selamat,” katanya.

Malah, menurutnya, empat pasangan turut ditahan dalam operasi berskala yang dilakukan pihaknya di hotel-hotel bajet sekitar bandaraya Alor Setar, dekat sini, yang dijalankan selama lima jam mulai 11.30 malam itu.

Katanya, bagi kesalahan khalwat, mereka ditahan di bawah Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara.

Bagi orang lelaki berlagak seperti perempuan yang ditahan di bawah Seksyen 26 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau setahun penjara.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor