Pages

Tuesday, March 31, 2015

LAWATAN PM KE BOAO, CHINA


LAWATAN KERJA YAB DATO’ SRI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK, PERDANA MENTERI MALAYSIA KE FORUM BOAO UNTUK ASIA 2015, BOAO, WILAYAH HAINAN, REPUBLIK RAKYAT CHINA, DARI 27 HINGGA 28 MAC 2015

KUALA LUMPUR, 27 Mac - YAB Dato Sri’ Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia akan mengadakan lawatan kerja ke Wilayah Hainan, Republik Rakyat China (RRC) dari 27 hingga 28 Mac 2015 untuk menghadiri Persidangan Tahunan Forum Boao Untuk Asia (BFA) 2015. YAB Perdana Menteri dijadualkan akan menyampaikan ucapan semasa Sesi Pembukaan Plenari BFA 2015 pada 28 Mac 2015 yang akan dirasmikan oleh TYT Presiden Xi Jinping, Presiden RRC.

Semasa di Boao, YAB Perdana Menteri akan mengadakan Mesyuarat Dua Hala dengan TYT Presiden Xi Jinping. Program lawatan ini juga meliputi jamuan makan malam yang akan dihoskan oleh Presiden Xi bagi sebagai tanda penghargaan kepada YAB Perdana Menteri. Semasa lawatan kerja ini, YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YBhg.Tan Sri Ong Ka Ting, Duta Khas Perdana Menteri ke China dan pegawai-pegawai kanan Kerajaan.

Dianjurkan semenjak tahun 2002, tema Forum Boao pada tahun ini adalah “Masa Depan Baharu Asia: Ke Arah Mewujudkan Komuniti dengan Hala Tuju Bersama”. BFA 2015 memberi fokus kepada agenda bersama dan tumpuan dunia iaitu “Keamanan dan Pembangunan”. Program persidangan ini melibatkan lebih daripada 70 acara rasmi yang berkaitan dengan ekonomi makro, kerjasama serantau, transformasi industri, inovasi, politik dan keselamatan, kesejahteraan masyarakat dan pelbagai bidang lain. Enam belas (16) pemimpin-pemimpin dunia, termasuk YAB Perdana Menteri dan Presiden RRC akan menghadiri Sesi Pembukaan Plenari BFA 2015.

Lawatan Kerja YAB Perdana Menteri semestinya akan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan China. Ia akan memberi suntikan dalam usaha untuk mempertingkatkan lagi kerjasama dan hubungan dua hala yang sedia terjalin antara kedua Negara. Kehadiran YAB Perdana Menteri ke BFA 2015 pula akan memberi peluang kepada Malaysia untuk berkongsi pandangan berkaitan tema Forum terutamanya isu-isu penting ekonomi, keamanan dan pembangunan. Selain itu, ia juga merupakan satu platform untuk mengetengahkan halatuju dan agenda ASEAN termasuk keutamaan-keutamaan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2015 dalam pertubuhan serantau ini.

SUMBER: Kementerian Luar Negeri, Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Azreey Abu Kassim
Penolong Pengarah
Jabatan Penerangan dan Diplomasi Awam
Tel : 03-8887 4180
Faks : 03-8889 2726



No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor