Pages

Tuesday, March 31, 2015

KUANTAN: CUBAAN CURI KHAZANAH NEGARA GAGAL


Cubaan curi khazanah negara gagal


Cubaan anasir asing mencuri khazanah negara dengan memunggah keluar bahan logam dipercayai dari lokasi kapal karam zaman Perang dunia kedua berjaya dipatahkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui KD Pahang berikutan penahanan 12 individu bersama dua buah bot termasuk satunya sarat dengan muatan komponen tembaga, petang kelmarin.

Kedua-dua bot terbabit ditahan antara jam 1.57 hingga 2.10 petang sekitar kira-kira 55.5 batu nautika dari Muara Sungai Pahang selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan ke atas bot pertama yang hanya dikendalikan tekong warga Thailand mendapati lelaki asing dan bot yang digunakan itu tiada dokumen sah manakala bot kedua didapati didaftarkan atas nama pemilik warga tempatan.

Bagaimanapun pemeriksaan lanjut terhadap bot tempatan terbabit mendapati tekong dan 10 awak-awak warga Vietnam tiada dokumen perjalanan sah manakala bot terbabit juga tiada permit.

Kedua-dua bot bersama tekong dan awak-awaknya ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki terlibat dalam kegiatan curi khazanah negara berikutan penemuan barangan logam tembaga dipercayai dari kapal perang British iaitu HMS Repulse dan HMS Princes Of Wales yang karam di perairan itu ketika era zaman Perang Dunia Kedua.

Pegawai Memerintah KD Pahang, Komander Nikmat Azhar Mahmud berkata, KD Pahang dalam misi rondaan menyiasat pencerobohan bot-bot Vietnam di satu lokasi kapal karam kira-kira 45 batu nautika di utara Pulau Tioman.

Menurutnya, maklumat mengenai kemungkinan berlaku kegiatan menyelam dan mencuri sisa kapal peninggalan perang di situ oleh pihak tertentu susulan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan.

“Susulan maklumat yang diterima, KD Pahang melakukan rondaan di kawasan yang dilaporkan bagaimanapun awalnya tiada sebarang bot atau kegiatan mencurigakan dikesan di lokasi tersebut.

“Bagaimanapun, pada 29 Mac lalu, kita berjaya mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di lokasi kira-kira 55.5 batu nautika di mana bot yang menggunakan nombor pendaftaran Johor itu hanya dinaiki seorang lelaki,” katanya dalam satu sidang media di sini, semalam.

Nikmat Azhar berkata, ketika dihampiri bot terbabit melarikan diri dengan pergerakan yang agak berbahaya dari kiri ke kanan sehingga memaksa enam kali amaran diberikan namun tekong gagal memberikan kerjasama.

"KD Pahang kemudian bertindak melepaskan dua das tembakan amaran ke udara sebelum bot terbabit berhenti.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot terbabit langsung tidak menemui sebarang alat menangkap ikan dan hasil tangkapan,” katanya.

Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati, bot tersebut dipercayai dalam perjalanan dari Endau ke Thailand.

“Curiga dengan bot dan tekong itu, kita bertindak menahannya untuk siasatan lanjut setelah kedua-duanya tiada dokumen sah,” katanya.

Menurutnya, berikutan penahan bot tersebut, pihaknya berjaya mengesan sebuah lagi bot kira-kira 6 batu nautika daripada lokasi bot pertama.

“Bot terbabit juga bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran KD Pahang bagaimanapun selepas dikejar, bot terbabit berjaya dihalang dan ditahan.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit dikendalikan tekong dan awak-awak warga Vietnam berusia 15 hingga 49 tahun namun kita curiga apabila bot tersebut milik warga tempatan namun tiada permit menangkap ikan dan sebarang hasil tangkapan ditemui,” katanya.

Nikmat Azhar berkata, bagaimanapun hasil pemeriksaan ke bahagian muatan membawa kepada penemuan barang-barang tembaga dipercayai komponen kapal perang karam disyaki khazanah negara yang cuba dicuri.

“Sebenarnya sindiket ini agak licik bertindak sehinggakan pihak berkuasa sukar untuk mengesan mereka tanpa maklumat tepat.

“Mereka menggunakan bot tempatan siap kibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri berpura-pura sebagai nelayan dengan memancing atau menangkap ikan di kawasan kapal karam sehinggakan kita sukar untuk mengesan niat sebenar mereka,” katanya.

Menurutnya, agak mengejutkan apabila awak-awak terlibat mendakwa mereka menyelam ke dasar lokasi tanpa menggunakan peralatan selaman sebaliknya hanya menyuntik sejenis ubat perangsang di bahagian dada dan mampu menyelam dalam tempoh yang agak lama.

“Kita berjaya menemui bahan dan alat suntikan yang digunakan bagi tujuan itu sekali gus cara ini antara taktik yang digunakan untuk mengelabui mata pihak berkuasa berbanding alat selaman yang mungkin boleh menimbulkan syak,” katanya.

Beliau berkata, bot bersama tekong dan awak-awak dibawa ke jeti TLDM Tanjung Gelang sebelum diserahkan kepada pihak Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

“Kejayaan mematahkan cubaan curi khazanah negara ini adalah yang pertama untuk tahun ini dan kali kedua selepas kejayaan dilakukan KD perkasa tahun lalu berikutan penahanan sebuah bot bersama 17 krew Vietnam,” katanya.

1 comment:

  1. apa lagi nak tunggu bertindaklah cepat naikan kapal karam tersebut letak dimuzium atau biarkan kapal tu tinggal bangkai aja. pencuri takan berhenti selagi ada harta disitu. bejaga le macamana pun pencuri ada macam-macam cara

    ReplyDelete

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor