Pages

Saturday, March 21, 2015

KUANTAN: PENDUDUK TERTEKAN AKIBAT DEBU


Penduduk tertekan akibat debu


Penduduk di Taman Beserah Makmur di sini tertekan ekoran masalah debu yang melanda kawasan perumahan mereka sejak tahun lalu.

Masalah debu berkenaan didakwa menimbulkan pelbagai masalah kesihatan kepada mereka antaranya batuk berterusan dan jangkitan paru-paru.

Mereka mendakwa situasi itu disebabkan oleh debu yang berpunca daripada aktiviti mengangkut bauksit di kawasan bukit kira-kira 15 meter dari kawasan perumahan mereka.

Penduduk yang ditemui, Mohammad Fadillah Kamaruddin, 36, berkata, dia yang tinggal di kawasan itu bukan sahaja terpaksa berdepan dengan masalah debu tetapi mengalami masalah kesihatan seperti batuk yang berterusan.

Dakwanya, anak-anaknya turut mengalami masalah kesihatan se-perti asma dan jangkitan paru-paru ekoran masalah debu di situ.

“Keadaan kesihatan kami anak beranak terganggu sejak aktiviti berkenaan giat dijalankan. Malah kami juga tidak boleh menjemur pakaian di luar kerana bimbang terkena debu.

“Malah terpaksa berkurung di dalam rumah dan tingkap rumah juga tidak boleh dibuka untuk mengelak debu,” katanya ketika ditemui di sini.

Mohammad Fadillah berkata, dia dan isteri, Noridayu Yamat, 32, bimbang situasi berkenaan berterusan dan menimbulkan masalah sampingan lain.

“Aktiviti tersebut tidak seharusnya dijalankan di kawasan perumahan seperti ini kerana lori yang keluar masuk di kawasan ini membahayakan keselamatan penduduk terutama kanak-kanak,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang ingin di kenali sebagai Din, 40, pula mahu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya menangani masalah aktiviti tersebut di kawasan perumahan itu.

Katanya, aktiviti sedemikian perlu diteliti semula untuk dijalankan di kawasan perumahan untuk memastikan keselamatan penduduk tidak terjejas.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor