Pages

Saturday, March 21, 2015

KUANTAN: LAGI TOMPOKAN MINYAK DITEMUI


Lagi tompokan minyak ditemui


Sekumpulan nelayan di Pantai Pelindung dekat sini mendakwa tompokan minyak di pantai itu semakin serius sejak tiga hari lalu sekali gus bimbang akan mengurangkan punca pendapatan mereka.

Tinjauan Sinar Harian di pantai berkenaan mendapati bukan sahaja ada tompokan minyak yang mencemarkan pemandangan tetapi bau yang kurang menyenangkan di sepanjang pantai.

Nelayan, Norhisyam Ahmad, 42, berkata pukat dan peralatan menangkap ikan nelayan di Pangkalan Nelayan Pantai pelindung turut dicemari minyak.

Katanya, mereka terpaksa mencucinya dengan pasir pantai dan mengambil masa lama untuk kembali bersih. 

“Walaupun baru dua hari pantai ni dicemari minyak tapi peralatan nelayan kotor dan kami terpaksa menghabiskan masa membersihkannya,” katanya ketika ditemui, semalam. N

orhisyam berkata, dia dan beberapa rakan turun ke laut pada jam 6.30 pagi dan pulang kira-kira jam 4 petang namun mereka pulang lebih awal hari ini (semalam) untuk membersihkan peralatan.

Rakannya, Omar Man, 62, mendakwa, keadaan berkenaan paling teruk sepanjang enam tahun menjadi nelayan walaupun sebelum ini pernah berlaku kejadian sama.

Katanya, akibat tumpahan minyak, banyak siput mati dan tidak boleh dimakan selain beberapa hidupan laut lain terdampar di pantai.

“Kita bimbang minyak mengancam ikan dan hidupan laut yang menjadi punca rezeki nelayan,” katanya.

Justeru, Omar berharap pihak bertanggungjawab dapat bertindak segera menyiasat punca sebenar tumpahan minyak atau pembuangan sisa pembersihan kapal bagi mengelakkan lebih banyak pencemaran berlaku.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Kampung Pantai Beserah, Ahmad Rosmawi Mohamed berkata, beliau menyedari tompokan minyak itu kira-kira jam 12.30 tengah hari Rabu lepas dan semakin banyak hari ini.

Katanya, beberapa nelayan di situ mengambil inisiatif membersihkan minyak tetapi tiada tanda berkurangan kerana dibawa ombak ketika air pasang pada waktu malam.

Bagaimanapun, katanya, wakil dari syarikat Alam Flora sudah membuat pemantauan di kawasan itu.

Sinar Harian semalam melaporkan mengenai tumpahan minyak di Pantai Sungai Karang, Pantai Beserah dan Pantai Teluk Cempedak.

Tumpahan didakwa berpunca dari kapal atau tongkang itu menjejaskan pantai itu.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor