Peserta Rancangan Projek Bersepadu Kampung Baru Pandan II yang saban tahun terpaksa menanggung kerugian akibat banjir, kini terpaksa berdepan pula dengan cuaca panas dan kemarau tahun ini.
Penternak ikan air tawar, Ahmad Saibi Baharudin, 56, berkata, keadaan panas dan kering ditempuhi hampir setiap tahun namun kebiasaannya terjadi sekitar bulan April hingga Jun.
“Namun kini trendnya sudah berubah di mana musim kemarau sebegini sudah mula berlaku sejak akhir Februari lagi, tetapi hingga kini air masih Sungai Pandan masih boleh masuk ke kolam-kolam dan kita menjangkakan musim panas kali ini hanya sehingga penghujung bulan ini sahaja.
“Pengaliran air Sungai Pandan ke kolam ikan di sini secara 24 jam jadi memang kita bergantung sepenuhnya pada air sungai tetapi sehingga setakat ini keadaan air dilihat masih boleh menampung kolam yang ada,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, jika berlaku kemarau penternak bukan sahaja menanggung kerugian tetapi juga berdepan dengan masalah tumbesaran ikan.
“Kebiasaannya ikan-ikan yang dibela akan kekurangan oksigen dan memang susah untuk membesar mengikut tempoh matang antara lima hingga enam bulan.
“Keadaan air kolam yang panas pada ketika musim kemarau membuatkan ikan-ikan berada dalam keadaan yang tidak selesa, kalau kita beri makanan pun tak makan banyak seperti biasa sebab itulah ia akan bantut sedikit dan mengambil masa untuk membesar,” katanya yang menternak ikan tilapia, patin, kap rumput dan banyak lagi sejak enam tahun lepas.
Siap sedia sebelum kritikal
Saibi berkata, walaupun masalah kemarau kali ini tidak terlalu kritikal namun penternak sudah mengambil langkah berjaga-jaga.
“Kita semua tidak mahu tanggung lebih banyak kerugian kerana kira-kira 20,000 ikan dalam kolam sudah banyak terlepas ketika banjir Disember lepas dan apa yang diternak hari ini adalah saki bakinya sahaja.
“Kita tidak mahu musim kemarau ini mendatangkan kerugian lagi, jika kita boleh selamatkan keadaan kita akan cuba,” katanya.
Tambahnya, buat masa sekarang dia harus menyediakan mesin penyedut air dan mencari sumber terdekat untuk menyediakan keperluan air yang cukup bagi menampung sebiji kolam yang berkeluasan kira-kira 300 meter panjang x 120 meter lebar dan kedalaman lebih kurang 1.5 meter.
Harga dan kos makanan ikan bebani penternak
Dalam pada itu, katanya, penternak bukan sahaja berdepan dengan bencana alam malah lebih teruk mengalami masalah untuk memasarkan hasil ternakan dan juga kos makanan yang tidak terkawal.
“Rata-rata kami di sini berdepan dengan masalah pemasaran memandangkan apabila sampai tempoh matang hasil tidak boleh dijual sekali gus tetapi hanya dijual secara runcit dan mengambil inisiatif sendiri menjualnya di pasar tani atau di pasar raya kecil.
“Keadaan ini timbul ekoran harga yang kami tawarkan dikatakan agak mahal oleh pembeli atau pemborong, berbanding harga ikan yang diternak di lombong dan menggunakan pemakanan ikan yang murah dan tidak menentu.
“Sedangkan ikan-ikan yang dijual oleh penternak ikan air tawar Kampung Pandan II ini jauh lebih berkualiti memandangkan kami menggunakan palet,” katanya.
Tambahnya, Mengguna-kan palet, ikan lebih sihat dan berkualiti serta mampu memberikan rasa yang berbeza walaupun diternak secara kolam serta penggunaan air sungai yang keluar masuk 24 jam sehari.
“Jadi agak sukar jika nak jual dengan harga lebih murah memandangkan kos pembelian palet ikan lebih kurang RM58 seguni berbanding dahulu hanya dijual sekitar RM28 seguni sahaja," katanya.
Bina kolam tadahan
Sementara itu, Ketua Kampung, Abdul Radzi Ahmad berkata, keadaan kemarau yang belum mencecah tahap kritikal mampu memberikan tempoh bersedia buat kira-kira 30 penternak atau peserta dengan 44 buah kolam di kawasan Rancangan Projek Bersepadu Kampung Baru Pandan II, dekat sini.
“Dalam usaha membantu peserta penternak ikan kolam air tawar menyelesaikan masalah ketika menghadapi musim kemarau hampir setiap tahun, satu kertas kerja untuk membina satu kolam takungan air sudah dihantar kepada pihak bertanggungjawab.
“Memandangkan projek ini agak besar dengan bantuan peruntukan diperlukan sehingga RM150,000 untuk membinanya jadi ia masih lagi dalam proses dan mungkin mengambil masa sedikit namun tidak semua 44 kolam perlu disalurkan air melalui kolam takungan tersebut kerana ada kolam yang rendah ia tidak terjejas kerana air masih boleh di pam masuk.
“Sementara menunggu kelulusan dengan bantuan kerajaan negeri, jika ia kritikal setiap tahun mereka akan bergotong royong membina empangan sungai menggunakan guni pasir bagi memudahkan dan membanyakkan air masuk,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor