Mengutip tin-tin kosong bukan sahaja boleh dijadikan sumber pendapatan harian belia kampung, malah ia juga secara tidak langsung dapat menjaga kebersihan setempat.
Ketua Pemuda Umno Cawangan Kampung Lengkong, Hairul Razuan Ibrahim berkata, belia sebaliknya tidak seharusnya berasa malu untuk melakukan kerja sedemikian.
“Belia tidak harus rasa malu untuk mengutip tin-tin kosong yang bertaburan di jalan mahupun lain-lain kawasan di kampung ini.
“Selain menjaga kebersihan kampung, sedikit sebanyak belia boleh menjana pendapatan dengan mengutip tin-tin kosong terbabit,” katanya.
Menurutnya, setiap kali melalui kawasan kampung dan terlihat tin-tin kosong, dia tanpa segan silu akan mengutip dan memasukkannya ke dalam kereta.
“Apa yang hendak dimalukan? Saya sudah mempunyai pekerjaan sebagai seorang pemandu dan mempunyai pendapatan tetap,” katanya.
Tambahnya, tidak hanya tin-tin kosong, malah besi, kayu, plastik dan lain-lain sampah juga akan dikutip dan diletakkan di tempat yang sepatutnya.
“Mana yang boleh dijual, kita jual, mana yang tidak, kita ambil dan letakkan ke tepi atau tempat pembuangan yang sepatutnya.
“Kadang kala ada benda yang berbahaya buat penduduk yang diambil ringan oleh masyarakat. Apa salahnya jika kita ringankan tangan, angkat sampah-sampah berbahaya terbabit dan buangkannya di tempat sepatutnya,” katanya.
Menurutnya lagi, Hairul berharap sifat terbabit boleh dijadikan contoh buat belia di kampungnya itu.
“Saya harap golongan belia dapat mengikuti cara saya ini dan tidak perlu rasa malu untuk mengutip tin-tin kosong selain ringankan diri untuk mengutip sampah yang bertaburan di jalan mahupun kawasan-kawasan yang menjadi laluan kita.
“Jika bukan kita golongan belia yang akan menjaga kebersihan kampung dan memuliharanya untuk generasi seterusnya, siapa lagi?” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor