Pages

Thursday, March 19, 2015

ANGKASA TAWAR PAKEJ UMRAH, ZIARAH MULAI MEI 2015


Seremban - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) akan menawarkan pakej umrah dan ziarah bermula Mei ini, sebagai antara usahanya untuk menceburi bidang perniagaan yang baharu. 

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata bagi tujuan itu, Angkasa telah menjalinkan kerjasama dengan Rakyat Travel, anak syarikat Bank Rakyat, bersama 40 buah koperasi yang terlibat dalam bidang berkenaan. 

"Kita juga telah berbincang dengan beberapa syarikat penerbangan untuk memulakan program pelancongan umrah dan ziarah ini. Kita akan mulakan program ini pada 25 Mei ini.

"Kita telah mendapat persetujuan syarikat penerbangan berkenaan untuk penerbangan carter. Untuk penerbangan pertama ini yang melibatkan empat penerbangan, ia membabitkan 1,080 orang," katanya pada sidang media selepas Persidangan Angkasa Negeri Sembilan di sini, semalam.

Beliau berkata Angkasa turut menjalinkan kerjasama dengan rakan kongsinya di Arab Saudi dan secara tidak langsung membantu mengerakkan koperasi di negara tersebut.

"Tujuan kita menceburi bidang ini ialah kita hendak membawa koperasi bersama untuk terlibat dalam bidang pelancongan umrah dan ziarah. Sebelum ini, ramai anggota koperasi kita tertipu dengan program umrah dan ziarah yang diuruskan beberapa syarikat agensi pelancongan.

"Dengan kita sendiri menguruskan program umrah dan ziarah ini, saya percaya isu anggota kita kena tipu tidak timbul lagi kerana kita memberi jaminan berhubung perkara ini," katanya.

Beliau berkata bagi jangka panjang, Angkasa akan menganjurkan program pelancongan umrah dan ziarah untuk anggota koperasi negara lain seperti Indonesia dan China berikutan permintaan tinggi masyarakat seluruh dunia.

1 comment:

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor