Pages

Monday, February 9, 2015

PENERBANGAN AIRASIA X 7172 KE JEDDAH SELAMAT MENDARAT DI KLIA2



KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Pesawat AirAsia X Penerbangan D7172/XAX172 yang dalam perjalanan menuju ke Jeddah dari Kuala Lumpur selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) selepas kira-kira lima jam berlegar-legar di ruang udara Selat Melaka.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes semasa dihubungi mengesahkan perkara itu dan menganggapnya sebagai rutin biasa bagi pesawat Airbus 330-343 untuk kembali ke pangkalan.

"Ia boleh meneruskan perjalanan ke Jeddah, tetapi kami berpendapat lebih baik ia berpatah balik, tiada yang luar biasa," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada BERNAMA pada Ahad.

Berita mengenai insiden itu tersebar luas dalam media sosial, dan pemantauan menerusi laman web radarflight 24 menunjukkan pesawat itu yang berlepas dari klia2 pada 12.20 tengah hari telah berpatah balik dan berlegar-legar di ruang udara Selat Melaka.

Ia sepatutnya mendarat di Jeddah pada 11.15 malam.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai di dalam akaun Twitternya berkata beliau dimaklumkan bahawa pesawat AirAsia Penerbangan D7172/XAX172 menghadapi masalah teknikal dan terpaksa berlegar-legar di ruang udara Selat Melaka.

"(Bagaimanapun) pesawat itu selamat mendarat di klia2," katanya dalam catatan pada 5.51 petang.

Ini merupakan insiden kedua melibatkan AirAsia dalam tempoh lebih sebulan selepas tragedi pesawat AirAsia Indoneisa Penerbangan Qz8501 pada 28 Dis tahun lepas.

Pesawat Airbus A320-216 itu yang dalam perjalanan ke Singapura dari Surabaya terhempas ketika cuaca buruk di Laut Jawa yang mengorbankan kesemua 155 penumpang dan anak kapal.

Lokasi pesawat itu dikesan dua hari selepas dilaporkan terhempas apabila serpihan pesawat itu dan mayat ditemukan terapung di laut.




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor