Pages

Monday, February 9, 2015

PEMILIHAN SEMULA MIC : SARAVANAN YAKIN DAPAT SOKONGAN


BUTTERWORTH, 8 Feb (Bernama) -- Naib Presiden MIC Datuk M. Saravanan yakin mendapat sokongan pemimpin akar umbi sekiranya beliau bertanding dalam pemilihan semula parti berkenaan.

Saravanan berkata anggota parti di setiap bahagian telah memberikan sokongan yang baik terhadapnya, sambil percaya bahawa mereka akan membuat keputusan yang bijak pada pemilihan itu nanti.

Beliau berkata tumpuan kini adalah bagi pemilihan presiden baharu yang akan menentukan hala tuju parti tersebut.

"Saya mendapat sokongan bukan sahaja dari Pulau Pinang tetapi dari negeri lain kerana saya satu-satunya pemimpin (MIC pusat) sekarang yang menyertai MIC sebagai anggota biasa di peringkat akar umbi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Ponggal di Dewan Sree Mariamman, di sini hari ini.

Beliau berkata MIC tidak seharusnya menyalahkan individu yang membuat laporan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS), sebaliknya perlu menyedari masalah yang dihadapi oleh parti tersebut.

"Saya difahamkan terdapat pemimpin pusat yang menyalahkan orang yang membuat laporan kepada ROS menyebabkan parti terpaksa membuat pemilihan semula.

"Kita seharusnya sedar bahawa parti sedang dalam krisis dan patut mencari jalan penyelesaian dan bukannya membuat sebarang tuduhan yang tidak akan membawa sebarang faedah kepada parti," katanya.

Pada Rabu lepas, kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) bersetuju supaya pemilihan semula semua jawatan dalam parti MIC diadakan sebagai jalan penyelesaian kepada krisis yang dihadapi parti itu.

Persetujuan itu dicapai selepas Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak bertemu dengan Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel serta Timbalannya, Datuk Seri S Subramaniam bagi membincangkan kemelut dalaman parti yang mewakili kaum India itu.

Krisis dalaman MIC tercetus selepas ROS membatalkan pemilihan bagi jawatan tiga naib presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam Perhimpunan Agung MIC di Melaka pada November 2013.

Dalam surat bertarikh 5 Dis 2014, ROS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi jawatan berkenaan dalam tempoh 90 hari.




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor