Pages

Thursday, February 5, 2015

JERANTUT: RUMAH TRADISI PAHANG SEBAHAGIAN KOLEKSI MUZIUM


Jerantut - Rumah tradisi Pahang peninggalan penghulu Mukim Kelola di sini yang berusia 91 tahun akan menjadi sebahagian daripada koleksi Muzium Warisan Melayu Universiti Putra Malaysia (UPM). 

Pengarah muzium, Dr Muhammad Pauzi Abd Latiff berkata, pemilihan rumah kepunyaan Ismail Khatib Bakar itu dibuat berdasarkan keunikan seni binanya yang didirikan tanpa menggunakan paku, sebaliknya dipasak.

Faktor lain yang dipertimbangkan ialah ketahanan rumah yang dibina menggunakan teras kayu cengal dan merbau, yang merupakan antara kayu paling kukuh menyebabkan ia tidak rosak atau dimakan anai-anai, kata beliau.

"Saya bersyukur kerana 'berjumpa' rumah ini dan mendapat persetujuan warisnya Zaharah Ismail, anak bongsu penghulu untuk menyerahkan rumah kepada UPM bagi tujuan pemuliharaan," katanya kepada pemberita pada Majlis Pemindahan Rumah Tradisional Melayu Pahang di Kampung Kelola di sini, hari ini.

Muhammad Pauzi berkata, projek pemindahan rumah itu pada asalnya dijadual pada 24 Disember lalu, namun terpaksa ditangguhkan kerana rumah yang terletak kira-kira 70 meter daripada Sungai Pahang itu terlibat dalam banjir besar baru-baru ini.

Beliau juga melahirkan rasa kagum dengan ketahanan rumah itu yang tidak rosak atau beralih kedudukan meskipun 'diuji' dengan tiga kali banjir besar di Pahang iaitu pada tahun 1926, 1971 dan 2014.

"Kisah itu merupakan nilai tambah kepada rumah ini. Waris rumah juga bermurah hati memberi perahu jalur berukuran 30 kaki yang dihasilkan daripada sebatang balak yang ditebuk dan pendayung berukuran sembilan kaki untuk dipamerkan ersama-sama rumah itu," kata Muhammad Pauzi.

Katanya proses pemindahan rumah itu akan mengambil masa lima hari kerana ia dimulakan dengan kerja-kerja penandaan, sebelum boleh dibuka bermula daripada bahagian zink dan tulang bumbung dengan proses memasang semula dijangka mengambil masa dua bulan kerana ia merupakan rumah tradisi paling besar di muzium itu.

Selain rumah tradisi Pahang, muzium itu juga menempatkan rumah tradisi Negeri Sembilan, Terengganu dan Perak dan dijangka akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada April atau Mei depan.

Sementara itu, Zaharah, 69, berkata beliau bangga apabila rumah yang dihuninya sejak lahir sehingga mempunyai dua orang anak diberikan penghargaan untuk menjadi tarikan pelancong dan rujukan pengkaji seni bina Melayu.

"Kali terakhir kami tinggal di situ adalah pada tahun 1989. Walaupun kosong, kami masih datang 'menjenguk' rumah setiap hari kerana banyak pokok buah-buahan di sekitar rumah.

"Apabila dengar ada yang berminat hendak memulihara rumah ini, mak cik terus bersetuju. Bimbang juga jika berlaku banjir besar di masa hadapan, rumah ini tidak boleh bertahan dan rosak," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor