Melaka - Sebuah pondok yang terletak di tepi jalan di Taman Paya Rumput, di sini, menimbulkan tanda tanya apabila ia menyerupai rumah ibadat bukan Islam, namun terdapat senaskhah al-Quran dan bingkai kaca tertulis ayat kursi di dalamnya.
Lebih mengejutkan, pondok diperbuat daripada batu menyerupai tokong atau kuil itu seolah-olah menjadi lokasi aktiviti pemujaan apabila turut terdapat sebuah struktur kubur dan enam batu dibalut kain kuning, selain colok dan tempat membakarnya.
Rahsia sebalik pondok terletak di atas tanah yang statusnya belum diketahui itu, terbongkar apabila ditemui anggota Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sebelum mereka memaklumkan kepada Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), semalam.
Ketua Penguatkuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, pihaknya terdahulu dihubungi Unit Penyelidikan Jaim sebelum anggota penguatkuasa dan beberapa kakitangan kedua-dua jabatan terbabit ke pondok yang dibina di tepi Lebuh Alor Gajah - Melaka Tengah - Jasin (AMJ), kira-kira 8.30 pagi semalam.
“Sebaik saja memasuki bangunan melalui pintu pagar untuk ke ruang yang mempunyai struktur seperti kubur itu, kita menemui dua bingkai ayat kursi dan salah satunya mengandungi terjemahan dalam bahasa Melayu tergantung di kiri dan kanan dinding.
“Selain itu, seberkas colok, buah limau, ciku, pisang turut ditemui bersama al-Quran di atas para simen di hadapan struktur seperti kubur tersebut,” katanya.
Menurutnya, siasatan awal pihaknya mendapati bangunan tersebut dijaga seorang lelaki Melayu berusia 50-an yang dibayar upah oleh pemilik pondok berkenaan yang dikatakan seorang warga asing.
“Jaim akan mengenal pasti pemilik lelaki dipercayai dari negara jiran dan laporan polis akan dibuat sekiranya siasatan mendapati terdapat unsur boleh menimbulkan keresahan kepada masyarakat Islam.
“Al-Quran dan dua bingkai ayat kursi itu kita rampas dan siasatan lanjut akan dijalankan bagi mencari siapa yang meletakkannya di situ, selain motif bangunan itu dibina,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga akan meminta kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan berdasarkan peruntukan sedia ada.
“Jika hasil siasatan mendapati terdapat unsur pemujaan, kita akan siasat di bawah Seksyen 69 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Melaka 1991 kerana memuja selain siasatan di bawah enakmen sama mengikut Seksyen 61 kerana mempermainkan al-Quran dan hadis serta Seksyen 62 kerana mempersendakan agama Islam,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor