
Institut Sukan Negara (ISN) menafikan bahawa agensi berkenaan terlibat dengan penangguhan perbicaraan kes doping pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei.
Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata, ISN tidak mempunyai apa-apa kawalan atau pengaruh terhadap penetapan tarikh pendengaran kes oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
"ISN seperti semua pihak lain, turut menunggu dengan penuh kesabaran tarikh mesyuarat panel pendengaran yang dilantik BWF untuk kes doping melibatkan pemain badminton perseorangan nombor satu Malaysia.
"Apa-apa spekulasi atau andaian berkenaan kes ini tidak memberi faedah dan boleh mengeruhkan situasi serta menimbulkan kekeliruan lebih-lebih lagi kepada pihak awam," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Lewat bela Chong Wei bagi kes kukuh]
Dr Ramlan berkata, ISN amat berharap tarikh pendengaran itu yang akan dimaklumkan oleh BWF kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dapat diketahui secepat mungkin.
Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria sebelum ini, berkata penyediaan bukti bagi proses pendengaran isu doping Chong Wei oleh ISN dan pihak peguam Mike Morgan akan siap selewat-lewatnya Mac ini.
Norza berkata, BWF akan memberi tarikh pendengaran itu apabila BAM telah bersedia.
Chong Wei kini digantung sementara oleh BWF selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang 'dexamethasone' ketika beraksi dalam Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos tahun lepas.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor