Pages

Friday, January 23, 2015

TAMAKNINAH & KHUSYUK DALAM SOLAT


Meluruskan saf adalah sebahagian daripada kesempurnaan solat. - Gambar hiasan oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM


Rukun Islam adalah lima tonggak dasar dan paling utama bagi ajaran Islam. Ia juga menjadi elemen dasar yang menyatukan umat Islam dan seluruh umat manusia amnya.

Bermula rukun syahadah, solat, puasa, zakat, haji; semuanya memiliki elemen penyatuan dan perpaduan. Ia menjadi ikon dan simbol 'rahmat ke sekalian alam'.

Solat adalah pengerat hubungan antara hamba dengan Rabb-nya ‘Azza Wa Jalla yang wajib dilaksanakan lima waktu sehari semalam, sesuai petunjuk Nabi Muhammad SAW, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: "Solatlah, sebagaimana kalian melihat aku solat." (Riwayat Bukhari)

Beruntunglah orang yang melaksanakan solat dengan khusyuk dan tamakninah. ALLAH SWT berfirman maksudnya: "Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya." (Surah Al-Mukminun:1-2)

Sesiapa yang menjaga solat yang lima waktu, maka pada hari kiamat, ia akan mendapatkan cahaya, petunjuk dan keselamatan. Dan dia dijanjikan ALLAH dengan dimasukkan ke dalam syurga.

Solat akan mendidik seseorang Muslim agar selalu takut dan mengharap kepada ALLAH, yang dengannya dia akan menjauh daripada perbuatan yang tidak diredai ALLAH. Firman-Nya yang bermaksud:

"Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati ALLAH adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) ALLAH mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (Surah Al-Ankabut: 45)

Solat adalah perkara pertama dihisab pada hari kiamat. Sebagaimana Rasulullah SAW bersabda: "Amal seseorang hamba yang pertama kali dihisab pada hari kiamat adalah solat, apabila solatnya baik, maka baik pula seluruh amalnya dan apabila solatnya rosak, maka rosak pula seluruh amalnya." (Riwayat At-Tabrani dalam Mu’jamul Ausath, Sahih)

Solat yang wajib akan menghapuskan dosa-dosa dan kesalahan.

BEBERAPA PERHATIAN PENTING MENGENAI SOLAT

a) Wajib didirikan pada waktunya, yang utama pada awal waktu.
b) Wajib didirikan dengan khusyuk dan tamakninah.
c) Wajib didirikan sesuai dengan contoh Nabi SAW daripada mulai takbir sampai ke salam. (Diringkas dan ditambah daripada Hasyisyah Tsalatsatil Usul (m/s 57) oleh Syaikh Abdurrahman bin Muhammad bin Qasim.)
d) Bagi lelaki wajib berjemaah di masjid.

HUKUM ORANG YANG MENINGGALKAN SOLAT

Ulama bersepakat, orang yang meninggalkan solat dan mengingkari kewajipannya, maka dia telah kafir dan keluar daripada agama Islam. Ulama berselisih pendapat mengenai hukum orang yang meninggalkan solat kerana malas atau sibuk tanpa alasan disertai keyakinan perihal kewajipannya.

Pendapat pertama, mengatakan mereka telah kafir. Kelompok ini berdalil dengan hadis yang diriwayatkan Jabir bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Antara seseorang dengan kesyirikan dan kekufuran adalah meninggalkan solat." (Riwayat Muslim)

Pendapat kedua, mengatakan bahawa mereka fasik tanpa mengkafirkannya. Ini adalah pendapat jumhur ulama terawal. Antaranya Malik, Syafii dan Abu Hanifah. Mereka berdalil dengan hadis Nabi SAW maksudnya: "Ada lima waktu solat yang diwajibkan ALLAH atas hamba-Nya.

Sesiapa yang mengerjakannya tanpa mensia-siakannya sedikit pun dan meremehkan hak-haknya, maka dia telah terikat janji dengan AlLLAH yang akan memasukkannya ke syurga dan sesiapa yang tidak mengerjakannya, maka dia tidak memiliki janji dengan ALLAH. Kalau ALLAH kehendaki, ALLAH akan menyeksanya, dan kalau ALLAH kehendaki, ALLAH akan masukkannya ke syurga." (Riwayat Ahmad & Malik)

Antara dalil yang mereka jadikan hujah adalah firman ALLAH: "Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukan-Nya dengan sesuatu (apa jua) dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan hukum-Nya); dan sesiapa yang mempersekutukan ALLAH dengan sesuatu (apa pun), maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh." (Surah An-Nisaa’: 116)

Juga pertanyaan Shilah bin Zufar kepada Hudzaifah: "Apakah bermanfaat perkataan laailaahaillallaah bagi mereka meski pun mereka tidak mengetahui solat, puasa, haji dan sedekah?"

Lalu Hudzaifah berpaling daripadanya, lantas dia mengulangi pertanyannya sebanyak tiga kali, kemudian Hudzaifah menjawab: "Wahai Shilah, kalimah itu (laailaahaillallah) akan menyelamatkan mereka daripada api neraka", Hudzaifah mengucapkannya sebanyak tiga kali. (Riwayat Ibnu Majah & Al-Hakim)

Imam Ibnul Qayyim RHM (w: 751H) berkata orang yang meninggalkan solat wajib, maka dia telah melakukan dosa besar yang paling besar, dosanya lebih besar di sisi ALLAH daripada membunuh, mengambil harta, berzina, mencuri dan minum arak.

Orang yang meninggalkan solat fardu akan mendapat kemurkaan ALLAH dan dihinakan di dunia dan akhirat. (Lihat: As-Solahwa Hukmu Taarikiha, m/s 29)
Melurus & merapatkan saf jemaah & kesatuan hati Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya lurusnya saf adalah bahagian daripada kesempurnaan solat."

Nu’man bin Basyir meriwayatkan: "Rasulullah SAW (selalu) meluruskan saf kami, seperti meluruskan al-qidah (yakni anak panah yang belum dipasang bulu), sehingga Baginda berasa kami telah memahaminya.

(Pada lain hari) ketika Nabi mahu mengucapkan takbir, Baginda melihat seorang Arab Badwi yang dadanya sedikit maju ke depan (dari saf, atau tidak lurus).

Lalu Nabi bersabda: "Wahai hamba ALLAH! Luruskanlah saf kalian, atau ALLAH akan membuat kalian selalu berselisih." (Riwayat Bukhari & Muslim)
Anas berkata: "Di antara kami ada (seseorang) yang merapatkan bahunya dengan bahu temannya dan (merapatkan) kakinya dengan kaki temannya (ketika solat)." (Riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sempurnakan saf, sejajarkan antara bahu, penuhkan ruang kosong, bersikap lembutlah pada tangan saudaramu, dan jangan biarkan tempat kosong diisi oleh syaitan.

Barang siapa yang menyambung saf, maka ALLAH akan menyambungnya (dengan rahmat-Nya) dan barang siapa yang memutuskan saf, maka ALLAH akan memutuskannya." (Riwayat Ahmad & Abu Dawud, Sahih)

Nabi SAW mahu agar kaum Muslimin mempraktikkan tuntutannya untuk meluruskan saf agar semangat dan disiplin dilatih dalam diri kaum Muslimin. Kerana saf-saf mereka dalam solat layaknya barisan pasukan perang.

Solat bukan sahaja kefarduan asas dalam rukun Islam. Ia juga mengandungi banyak keistimewaan dan keutamaan. Ia juga terbukti secara nas naqli dan akli bahawa solat yang didirikan secara berjemaah dan mengikuti sunnah Nabi SAW yang sahih, mampu menyatukan hati jemaah kaum Muslimin.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor