Kuala Lumpur: Polis berjaya mengenal pasti anggotanya yang terbabit dan bertanggungjawab merakam serta menyebarkan klip video seorang penyanyi yang juga vokalis sebuah kumpulan terkenal era 90-an, ketika dalam tahanan polis, baru-baru ini.
Sehubungan itu, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pusat Media Polis Selangor, pada Khamis, siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Di samping itu, polis Selangor juga masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti pegawai dan anggota lain yang terlibat sama dalam menyebarkan video berkenaan.
“Siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin dan akan dikemukakan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya,” tegasnya dalam kenyataan itu.
Menurut Abdul Samah lagi, selain siasatan dalaman dari segi salah laku, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor juga sedang menjalankan siasatan dari segi pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).
“Polis Selangor memberi jaminan bahawa siasatan telus yang dijalankan, tanpa melindungi sesiapa, telahpun dilaksanakan dan tindakan dalaman mengikut peraturan tatatertib akan dikenakan terhadap anggota-anggota polis yang terlibat,” tegas Abdul Samah.
Pagi tadi, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mahu siasatan dan tindakan tegas diambil terhadap perakam yang memuat naik video bekas vokalis terbabit menyanyi dalam keadaan bergari.
Perkara itu dinyatakan Khalid melalui Twitternya yang merujuk penyebaran klip video selama 1 minit 23 saat, semalam.
Dalam video itu, vokalis berkenaan kelihatan seperti diminta menyanyikan lagunya dalam keadaan duduk dengan tangan kanannya bergari.
Ia sudah mula tersebar di laman sosial, termasuk aplikasi WhatsApp, sejak semalam, dengan kebanyakan komen pengguna mengutuk tindakan terbabit yang dianggap tiada belas kasihan.
Sebelum itu, bekas vokalis itu ditahan polis, semalam, kerana disyaki memiliki dadah jenis heroin seberat 1.2 gram dan Mahkamah Majistret Ampang membenarkan tahanan reman empat hari ke atas penyanyi itu serta teman wanitanya, bermula semalam, bagi membantu siasatan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor