Tumpat – 'Sudah 15 hari kami anak beranak tidur di bawah khemah,' luah Zakaria Mushim, 45, selepas rumahnya di Kampung Pak Jah di sini runtuh dibawa arus bah kuning hujung tahun lalu.
Walaupun rumah pusaka berusia 42 tahun itu tidak ranap sepenuhnya, tetapi ia sudah senget dan bahagian dapur diperbuat daripada konkrit pula retak.
Zakaria berkata, khemah yang dipasang di tanah tidak dapat memuatkan semua anaknya dan sebahagiannya terpaksa tidur di ruang dapur sempit yang retak itu.
“Anak lelaki dapatlah tidur di bawah khemah, tetapi isteri dan dua anak perempuan kenalah tidur di dapur.
“Tetapi keadaan dapur yang retak ini bermacam-macam kemungkinan akan berlaku,” katanya yang bekerja sebagai tukang rumah.
Zakaria berkata demikian sempena kunjungan Pemuda Umno Bahagian Tumpat, Rosidi Mahmud Kamarudin bersama rombongan pemuda melawat rumahnya yang runtuh.
Rosidi turut menyumbangkan tilam, selimut dan keperluan makanan.
Menurut Zakaria, jika hujan dia sekeluarga terpaksa berlindung di atas rumah buat sementara waktu kerana khemah tidak berdinding dan terkena tempias.
Katanya, dengan kudratnya dia tidak mampu untuk membaiki rumah berkenaan sedangkan dia sekeluarga terdesak memerlukan tempat tinggal yang selesa.
Lebih menyedihkan, Zakaria berkata, ibunya, Munah Deraman, 67, yang mengalami masalah rabun akibat penyakit kencing manis turut berkongsi keperitan sama tinggal di bawah khemah tersebut.
Mencerita musibah banjir itu, Zakaria berkata rumahnya runtuh di depan mata apabila arus deras dari Sungai Pak Jah menghentam rumah pusaka itu.
“Rumah saya betul-betul di hadapan pintu air sungai Pak Jah, apabila ia melimpah, arus deras menghentam rumah ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Ketika kejadian, dia sekeluarga berlindung di surau sebelah rumah dan melihat rumahnya runtuh dia sekeluarga terus berpindah berikutan khuatir surau turut dibawa arus.
Sesiapa yang prihatin untuk membantu Zakaria boleh salurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 153010218303 atau menghubunginya sendiri di talian 010-9247601.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor