Pages

Monday, January 19, 2015

SASAR LAHIRKAN 300 PEMIMPIN BELIA



KUALA LUMPUR – Majlis Belia Malaysia (MBM) akan memberi tumpuan khusus terhadap pelaksanaan pelan pembangunan jangka panjang pertubuhan itu bagi melahirkan sekurang-kurangnya 300 pemimpin belia menjelang 2018.

Presidennya, Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaludin berkata, pelan pembangunan jangka panjang yang diberi nama MBM in Business (MIB) perlu diberi perhatian khusus kerana mulai tahun 2018, takrif umur belia adalah 30 tahun ke bawah.

Katanya, jika pelan pembangunan jangka panjang tersebut tidak dijayakan dengan segera, adalah dibimbangi bukan sahaja MBM tetapi negara secara keseluruhannya akan berdepan dengan masalah kehausan kepemimpinan belia.

“Pelan jangka panjang ini sudah ada, cuma tinggal pelaksanaannya. Di bawah kepemimpinan saya, MIB ini akan menjadi keutamaan kita bagi memastikan MBM terus kekal relevan dalam mengangkat pembangunan belia di Malaysia.

“Perkara ini cukup penting kerana pada 2018, takrifan belia mesti berumur 30 tahun ke bawah,” katanya semasa menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Ke-63 MBM di sini hari ini.

Mua’amar Ghadafi Jamal mengambil alih kepemimpinan MBM bagi penggal 2014 hingga 2016 daripada bekas Presiden, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, selepas beliau yang sebelum ini berjawatan Timbalan Presiden menang tanpa bertanding.

Dalam pada itu, Mua’amar Ghadafi Jamal mengingatkan semua anggota jawatankuasa baharu MBM supaya bersatu dan saling bekerjasama dalam menjayakan apa sahaja perancangan yang ditetapkan oleh kepemimpinan pertubuhan tersebut.

“Kita semua perlu sedar bahawa kejayaan MBM dan kepemimpinan baharu ini tidak diukur pada garis permulaan tetapi akan dinilai pencapaiannya apabila tiba di garisan akhir, sebab itu kita perlu bersatu-padu,” katanya.


- Sumber


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor