Pages

Monday, January 19, 2015

ROMPIN: RATUSAN KUBUR SALAH KIBLAT


Juru ukur sedang membuat semakan bacaan arah kiblat yang sebenar.


Rompin - Penduduk Kampung Sungai Puteri, di sini, terkejut selepas proses pengebumian jenazah seorang penduduk di tanah perkuburan kampung tersebut baru-baru ini terpaksa ditangguhkan kerana arah kiblat digunakan selama ini didapati meragukan.

Beberapa penduduk yang terlibat proses menggali kubur berkenaan, mengambil tindakan memanggil pihak Jabatan Ukur untuk memastikan arah kiblat sebenar dan keputusan yang diterima mengejutkan mereka kerana arah kiblat yang digunakan selama ini adalah salah.

Penduduk, Mohd Razi Bakar, 49, berkata, apa yang terjadi ini sangat mengejutkan penduduk terutama waris kepada beratus jenazah yang telah dikebumikan di sini dan mereka tertanya-tanya apa tindakan yang sepatutnya diambil untuk membetulkan keadaan kubur-kubur yang tidak mengikut arah kiblat itu.

Menurutnya, mereka turut memohon pihak yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan segera agar tidak timbul perkara berbangkit pada masa depan.

“Saya bersama beberapa rakan yang bertanggungjawab menggali kubur pada ketika itu berasa ragu dengan arah kiblat yang digunakan selama ini dan kami terpaksa menangguhkan proses menggali kubur dan menghubungi Jabatan Ukur bagi mendapatkan kepastian mengenai arah kiblat di situ.

“Selepas diukur, kami terkejut kerana arah kiblat kubur-kubur lama di sini didapati lari 90 darjah dari arah kiblat yang sebenar. Hal ini juga telah mengejutkan penduduk kampung selain menimbulkan kemarahan kepada waris jenazah-jenazah yang telah dikebumikan di tanah perkuburan ini,” katanya.

Mohd Razi berkata, sudah lebih 30 tahun tanah perkuburan tersebut digunakan dan mereka berharap ada penyelesaian kepada masalah tersebut iaitu menetapkan arah kiblat sebenar dan menjelaskan status kubur-kubur lama yang tidak mengikut arah kiblat sebenar.

Sementara itu, Kadi Daerah Rompin, Adnan Mamat yang dihubungi mengesahkan telah maklum mengenai masalah berkenaan dan telah meminta imam serta AJK Masjid Sungai Puteri supaya membuat permohonan semakan arah kiblat di tanah perkuburan tersebut.

“Pihak yang layak dan ada autoriti untuk menentukan arah kiblat sebenar adalah Jabatan Mufti Pahang. Permohonan boleh dibuat kepada Pejabat Agama Daerah dan akan diajukan kepada jabatan mufti tersebut untuk tindakan selanjutnya.

“Kebiasaannya orang-orang terdahulu sudah ijtimak atau yakin dengan arah kiblat itu. Kita juga perlu faham pada zaman itu tiada alatan canggih untuk menentukan arah kiblat dengan tepat. Namun begitu kita tunggu respon dari Jabatan Mufti Pahang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor