Pages

Wednesday, January 21, 2015

PLKN TANGGUH TIDAK JEJAS KAKITANGAN


Gua Musang - Hampir 10,000 kakitangan sama ada pekerja tetap atau kontrak di 81 kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) seluruh negara tidak terjejas walaupun kem berkenaan ditangguhkan operasinya.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, mereka tidak perlu risau dengan penangguhan itu kerana ia bersifat sementara dan kerajaan tetap melindungi pendapatan mereka.

Katanya, PLKN tidak akan membuat pengambilan pelatih untuk sesi dua dan tiga tahun ini berikutan keputusan penangguhan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

"Ada baiknya juga penangguhan operasi PLKN itu supaya kami dapat melakukan penilaian semula dan transformasi terbaik untuk masa depan semua kem," katanya kepada pemberita selepas melawat Kem PLKN Etnobotani yang dijadikan penempatan sementara mangsa banjir di sini, hari ini.

Semalam, dalam perutusan khas perdana menteri tentang perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara di Putrajaya, mengumumkan bahawa PLKN ditangguh tahun ini dengan penjimatan sebanyak RM400 juta bagi membolehkan program itu dikaji semula dan ditambah baik.

Abdul Rahim berkata, selepas 10 tahun beroperasi, ini kali pertama kerajaan menangguhkan operasi semua kem PLKN dan berharap agar penilaian semula yang dibuat akan menghasilkan keputusan terbaik khususnya terhadap prestasi program itu.

Beliau berkata, perbincangan mengenai keputusan penangguhan itu sudah dibuat dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam PLKN termasuk kakitangan tetap dan kontrak.

"Di samping itu, kita akan mendapatkan maklum balas daripada ibu bapa bekas pelatih PLKN, operator dan badan bukan kerajaan (NGO) berhubung perkara itu selepas ini," katanya.

Beliau berharap semua pihak faham dengan keputusan itu dan tidak membuat penilaian negatif mengenai penangguhan berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor