Pages

Saturday, January 17, 2015

KEBAKARAN BONGKAR KEGIATAN MAKMAL DADAH


Klebang - Kebakaran seunit rumah di sebuah kondominium di sini membongkar kegiatan memproses dadah disyaki syabu dan ecstacy selepas pasukan bomba menemui pelbagai jenis bahan kimia ketika kerja pemadaman api dilakukan.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam, seramai 24 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu dan Jalan Kubu dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan daripada orang awam yang melihat asap tebal dari unit di tingkat 21 itu.

Menurut sumber, selain bahan kimia terdapat beberapa peralatan memproses dadah termasuk mesin menerap pil dan lebih 20 kilogram pil ecstacy bernilai jutaan ringgit turut ditemui di unit yang disewa oleh individu sejak tiga tahun lalu.

"Tiada mangsa terlibat berikutan tiada penghuni ketika kejadian dan selepas kerja pemadaman selesai jam 1.30 pagi, semua barang ditemui di rumah berkenaan diserahkan kepada pihak polis untuk tujuan siasatan lanjut," katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Razali Bakar berkata, pihaknya mendapat bantuan Jabatan Kimia negeri dan bomba untuk mengenal pasti bahan kimia yang ditemui.

"Hasil siasatan terdapat beberapa alat dan bahan yang digunakan untuk memproses dadah secara besar-besaran di unit yang mempunyai dua bilik tidur itu.

"Kita percaya berdasarkan penemuan bahan kimia dan peralatan berkenaan sebanyak 10 kilogram dadah jenis syabu dan ecstacy bernilai kira-kira RM2 juta mampu dihasilkan pada setiap kali proses dilakukan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor