Pages

Thursday, January 22, 2015

KALIMAH ALLAH: SALURAN PERUNDANGAN HERALD BERAKHIR


Isu kalimah ALLAH


Putrajaya - Perjuangan pihak gereja melalui saluran perundangan untuk menggunakan kalimah ALLAH dalam majalah mingguannya edisi Bahasa Malaysia, Herald berakhir selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya bagi semakan.

Ketika diminta oleh pemberita untuk mengulas tentang keputusan hari ini, editor majalah mingguan Katolik itu, Paderi Lawrence Andrew berkata, tidak ada ruang untuk gereja mengemukakan lagi kes itu kerana permohonan semakan adalah pilihan terakhir.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, dengan keputusan itu, Gereja Katolik dilarang daripada menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitan mingguannya, Herald, edisi Bahasa Malaysia.

"Kami harus menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan," kata beliau.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Tan Sri Abdull Hamid Embong hari ini sebulat suara menolak permohonan gereja bagi semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya bagi kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober 2013, sebulat suara membenarkan rayuan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Herald boleh menggunakan kalimah ALLAH.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Abdull Hamid memutuskan bahawa pihak gereja gagal memenuhi keperluan minimum bagi semakan yang termaktub di bawah Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor