Pages

Thursday, January 22, 2015

39 TAHUN TIADA DOKUMEN PENGENALAN


Siraju Deen menunjukkan dokumen permohonan sijil kelahiran kepada Syed Othman pada siding media, semalam.


Johor Bahru - Seorang lelaki hidup dalam ketakutan sepanjang 39 tahun ekoran tanpa sebarang dokumen pengenalan diri selepas diserahkan kedua ibu bapanya kepada keluarga angkat di Taman Anggerik Bandar Tenggara, Kulai sejak berusia 10 tahun.

Siraju Deen Abdullah, 39, berkata, lebih merumitkan keadaan apabila bukan sahaja tidak berpeluang ke sekolah, malah hasratnya untuk berumah tangga turut terbantut kerana tanpa dokumen penting berkenaan.

Menurutnya, dia yang merupakan anak tunggal ditinggalkan bersama keluarga angkat disebabkan ibu bapanya bekerja di luar kawasan sehingga mereka menghilangkan diri tanpa kesan ketika dia berumur 10 tahun.

“Menurut ibu angkat saya, M Saroja pada mulanya ibu dan bapa saya tinggalkan sementara mereka keluar bekerja dengan mengirim wang setiap bulan, tapi selepas tiga bulan berikutnya mereka tak lagi dapat dihubungi.

“Saya hidup dalam ketakutan di negara sendiri tanpa sijil kelahiran, apatah lagi MyKad sehingga tak pernah sekolah dan sekarang nak kahwin pun tak boleh,” katanya pada sidang media bersama Pusat Aduan Rakyat (PAR), di sini, semalam.

Siraju Deen berkata, dia bernasib baik kerana diterima bekerja di kedai gunting rambut Ulu Tiram, di sini sejak 15 tahun lalu dengan pendapatan RM50 sehari.

Menurutnya, dia yang sebelum ini beragama Hindu telah memeluk agama Islam pada April 2013 dengan menukar nama M Raja kepada Siraju Deen Abdullah.

“Saya bersama ibu angkat sudah dua kali ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Setia Tropika dan Kluang berserta lima saksi, tapi tak pernah menerima sebarang maklum balas.

“Saya rayu pihak JPN percepatkan urusan ini kerana saya sudah menghadiri kursus kahwin dan berhasrat untuk mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihan dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Penyelia PAR negeri, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya telah menghubungi JPN Setia Tropika dan disahkan permohonan Siraju Deen bertindih.

Menurutnya, beliau akan membuat temu janji dengan pihak JPN Setia Tropika untuk mengadakan perbincangan bersama Siraju Deen Ahad depan.

“Saya akan bawa Siraju Deen ke JPN Ahad ini, selepas semakan awal mendapati permohonan bertindih selepas dua permohonan dibuat di JPN Setia Tropika dan Kluang pada 2011 dan 2012,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor