Pages

Wednesday, December 17, 2014

TIDAK SEMPAT JOLI HASIL RAGUT


Mior Farid (duduk,dua kanan) menunjukkan pisau pemotong kertas dan barangan yang dirampas dari kumpulan terbabit. - Foto Sinar Harian oleh MOHD ISKANDAR OTHMAN


Georgetown - Empat sekawan tidak sempat berjoli dengan wang hasil kegiatan ragut selepas ditahan oleh sepasukan polis yang melakukan rondaan cegah jenayah awal pagi Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 pagi, empat remaja berusia antara 19 hingga 20 tahun itu dilaporkan baharu meragut beg tangan seorang wanita warga Thailand di kawasan kaki lima Lebuh Leith. 

Bagaimanapun, tindakan pantas unit rondaan yang menerima laporan kejadian itu daripada mangsa berjaya menahan mereka di Jalan Kapitan Keling dan Lebuh Chulia selepas 30 minit kejadian berlaku.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, pemeriksaan ke atas mereka menemui empat bilah pisau pemotong kertas yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan ragut.

Beliau berkata, kumpulan terbabit akan mengugut dengan pisau berkenaan sebelum melarikan beg dan pelbagai barangan berharga milik mangsa.

"Hasil pemeriksaan turut menemui barangan milik mangsa iaitu sebuah beg tangan, kad pengenalan Thailand, pasport dan wang tunai RM220.

"Kesemuanya mengaku melakukan kegiatan jenayah berkenaan. Polis percaya dengan tertangkapnya kumpulan ini akan menyelesaikan 34 kes ragut dan samun yang dilaporkan sebelum ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini.

Menurutnya, ujian air kencing semua suspek didapati negatif dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Mior Farid berkata, polis merampas dua motosikal yang digunakan suspek dan empat topi keledar.

"Mereka ditahan reman sehingga 20 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

"Sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun, denda atau sebat," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor