Pages

Saturday, October 4, 2014

TULANG MANUSIA DIJUMPAI DALAM HUTAN

Seorang ahli keluarga mangsa ditenteramkan oleh penduduk kampung selepas penemuan beberapa ketulan tulang dipercayai milik manusia di Kampung Datuk Keramat, Juru di Bukit Mertajam, awal hari ini. Sumber polis berkata ketulan tulang dipercayai jari tangan dan jari kaki dengan kesan terbakar itu ditemui dalam kawasan hutan berkenaan kira-kira pukul 1 pagi. - Foto Bernama


BUKIT MERTAJAM - Beberapa ketulan tulang dipercayai milik manusia ditemui di kawasan hutan di Kampung Datuk Keramat, Juru di sini awal semalam.

Sumber polis berkata ketulan tulang dipercayai jari tangan dan jari kaki dengan kesan terbakar itu ditemui dalam kawasan hutan berkenaan kira-kira pukul 1 pagi.

"Polis menjalankan pemeriksaan di kawasan hutan yang terletak tidak jauh dari kediaman sepasang suami isteri selepas menerima laporan daripada anggota keluarga mereka yang mendakwa wanita berkenaan (isteri) telah dibunuh.

"Menurut anggota keluarga itu, mereka ke rumah pasangan itu pagi semalam tetapi tidak dibenarkan masuk dan hanya suami wanita berkenaan kelihatan dalam keadaan mencurigakan," katanya di sini semalam.

Beliau berkata lelaki itu kemudian dilapor meninggalkan rumahnya tanpa berkata apa-apa kepada anggota keluarga itu walaupun berulang kali ditanya mengenai isterinya.

Menurut sumber itu, anggota keluarga berkenaan bertindak masuk ke dalam rumah untuk memeriksa dan mendapati kesan darah di beberapa bahagian di rumah itu.

Beliau berkata sepasukan polis yang menjalankan pemeriksaan turut menemui kesan darah itu dan hasil pemeriksaan lanjut di kawasan hutan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah berkenaan, polis menemui beberapa ketulan tulang.

"Berdasarkan pemeriksaan, polis tidak menolak kemungkinan tulang yang ditemui itu mempunyai kesan bakar," katanya.

Beliau berkata operasi mencari oleh polis diteruskan pagi ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor ketika dihubungi berkata beliau tidak dapat mengesahkan sama ada tulang yang ditemui itu adalah milik manusia.

"Kami perlu menunggu keputusan daripada forensik," katanya yang enggan mengulas lanjut. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor