KUANTAN – Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri bersama anak dan pegawainya dikenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 setiap seorang selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan semalam, atas dakwaan melanggar syarat bagi urusan diesel membabitkan 1.9 juta liter, April lepas.
Ketiga-tiga tertuduh, Datuk Seri Ahmad Sukimi Ibrahim, 44, Ahmad Faris Aqil Ahmad Sukimi, 21 dan Mohamad Khairie Ibrahim, 36, mohon untuk dibicarakan di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Zainuddin selepas kertas pertuduhan dibacakan kepada mereka.
Mereka didakwa melakukan kesalahan bersama-sama di Wisma Chemstation Asia, Jalan Pelabuhan 3/3, Pelabuhan Kuantan, dekat sini pada 7 April lepas kira-kira jam 3 petang.
Bagi tertuduh pertama, Ahmad Sukimi yang mempunyai tiga pertuduhan iaitu, pertama, sebagai pegawai Syarikat Sukimi Oil Sdn Bhd telah memberikan maklumat tidak benar kepada Pegawai Bekalan di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, bahawa pembekal minyak diesel kepadanya, Petron Malaysia dan di dalam pengetahuan tertuduh maklumat tersebut adalah tidak benar.
Oleh demikian tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(4) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta yang sama.
Manakala pertuduhan kedua, dalam kawalan syarikatnya barang kawalan yang juga merupakan barang berjadual iaitu minyak diesel sebanyak 1.9 juta liter di dalam tangki bernombor 801 dan 1302 dalam keadaan menimbulkan syak munasabah, dan dengan itu telah melakukan di bawah Peraturan 11 Peraturan-peraturan Kawalan Barang 1974 iaitu membeli selain dari orang yang dilesenkan untuk berurusan dengan diesel secara borong atau runcit tanpa kebenaran bertulis dan tertuduh telah didakwa melakukan kesalahan di bawah akta sama dan jika sabit kesalahan menerima hukuman sama.
Pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa atas kesalahan sebagai pemborong telah gagal untuk menyelenggara buku stok bagi setiap pembelian berjadual iaitu minyak diesel yang tidak mengandungi harga dan alamat penjual yang mana telah melanggar Peraturan 13 (1) Peraturan-peraturan Bekalan 1974, dan tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah akta sama dan jika sabit kesalahan menerima hukuman sama.
Manakala bagi dua lagi tertuduh Ahmad Faris Aqil dan Mohamad Khairie, masing-masing didakwa melakakan pertuduhan kedua dan ketiga yang sama bersama Ahmad Sukimi, jika sabit kesalahan mereka juga akan dikenakan hukuman yang sama di bawak akta yang sama.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Aida Farihan Mohd Nawi telah menawarkan agar wang jaminan yang lebih tinggi kira-kira sama jumlah dengan hukuman denda, RM100,000 beserta syarat tambahan dikenakan kepada mereka memandangkan kesalahan yang dilakukan begitu serius jika dilihat kepada jumlah liter diesel yang disita dan melibatkan hasil negara.
Ketiga-tiga tertuduh melalui peguam mereka, Ahmad Faiz turut memohon agar wang jaminan diringankan kepada mereka memandangkan semua sumber kewangan mereka telah disekat sejurus penangkapan tersebut.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor