Kota Bharu - Shalwati Norshal yang dibebaskan dari Penjara Hinseberg, Frovi di Sweden pada Isnin lepas setelah menjalani hukuman penjara 14 bulan, berkata beliau tidak menyalahkan anak-anaknya atas apa yang berlaku dan menyifatkan ia sebagai suratan takdir.
"Semua perkara yang terjadi ada hikmahnya dan saya tidak salahkan anak-anak. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan Malaysia iaitu Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan lain-lain," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa malam tadi.
Ketibaan Shalwati dan suaminya Azizul Raheem Awalludin dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 7.40 malam disambut empat anak mereka iaitu Aishah, 15, Ammar, 13, Adam, 12, dan Arif, 8, serta anggota keluarga dalam suasana gembira bercampur sedih.
Keempat-empat anak pasangan terbabit turut memegang kad ucapan yang tertera 'Welcome Home Mummy' serta membawa jambangan bunga bagi menyambut ketibaan ibu tercinta.
Sebaik melihat mereka, Shalwati meluru ke arah anaknya itu lalu memeluk mereka dan suasana gembira bercampur hiba itu turut dirasai orang ramai yang berada di sekitar balai ketibaan.
Aishah, anak sulung pasangan suami isteri itu, berkata pertemuan semula dengan ibunya merupakan saat paling menggembirakan dalam hidupnya.
"Syukur mummy selamat tiba dan ia adalah saat yang paling menggembirakan dalam hidup saya," katanya.
Aishah berkata semua anggota keluarganya bersyukur dan gembira apabila dapat menyambut Hari Raya Aidiladha pada Ahad ini bersama kedua-dua orang tua mereka.
Terdahulu, Shalwati, 46, tiba di KLIA kira-kira 1.41 tengah hari dari Sweden selepas transit di Dubai dengan menaiki pesawat Emirates EK 0408 ditemani kakaknya Noor Azila Makhzan, 52.
Sebelum ini, Mahkamah Daerah Solna di Stockholm mendapati Shalwati dan suaminya, Azizul Raheem, 38, yang juga Pengarah Pelancongan Malaysia di Sweden, bersalah atas tuduhan mencabuli integriti dan mengasari anak-anak mereka, Aisyah, Ammar, Adam, dan Arif.
Shalwati dihukum penjara 14 bulan dan diperintah membayar pampasan SEK67,200 (RM33,909) manakala Azizul dibebaskan 9 Julai lepas dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan diperintah membayar pampasan SEK36,400 (RM18,367) kepada anak mereka.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor