Pages

Friday, October 10, 2014

MAIN MACAM KARTUN!


Kelibat beberapa penyokong Merah Kuning memasuki padang untuk bersemuka dengan pemain Selangor, kelmarin. - Foto oleh ZAID AYID/ www.asia na.my

Penyokong Selangor nyata sudah hilang sabar dengan prestasi hambar pasukan kesayangan mereka dalam saingan Liga Super, Piala FA dan terbaharu, Piala Malaysia.

Selangor sebelum ini dilihat hampir menjuarai Liga Super namun akhirnya dipintas, Johor Darul Ta’zim, yang hanya dibezakan empat mata untuk gelaran juara dengan pungutan 44 mata.

Dalam saingan Piala FA pula, Selangor ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua selepas tewas, 1-0, ke atas, Sarawak di Stadium Shah Alam dan penyokong masih lagi bersabar.

Namun semuanya seakan sudah tidak dapat dibendung selepas The Red Giant mempamerkan aksi longlai sehingga dimalukan Felda United, 4-0, dalam pusingan suku akhir pertama di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu.

Lantas, hampir 70 penyokong menyerbu lokasi latihan pemain Selangor di padang bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), petang kelmarin.

Ketika itu, anak buah Mehmet Durakovic dalam persiapan berdepan aksi kedua menentang Felda di Stadium Temerloh, Pahang, esok.

Alfadli Awaludin, 31, yang mewakili penyokong Selangor, berkata, tujuan mereka bersemuka dengan pemain untuk mencari jawapan di sebalik prestasi lesu tersebut.

“Alasan yang sering diberi adalah off form. Sampai bila mahu beri alasan itu? Sebelum ini Selangor hampir merangkul Liga Super tapi terus merudum dan mereka bermain seperti kartun,” katanya.

Alfadli berkata, Selangor seharusnya menjadi pasukan digeruni kerana diperkuatkan dengan pemain berkebolehan.

“Mereka kena ingat, pasukan Selangor bukan hak milik mereka! Mereka perlu bermain sepenuh hati.

“Kami datang beri sokongan dan korbankan masa juga duit. Kami bukan mahu balasan tapi cukuplah dibayar dengan kesungguhan mereka ketika menyarung jersi Selangor,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor