ROMPIN – Pihak yang terlibat dengan industri pelancongan di Pulau Tioman diminta supaya mengutamakan aspek-aspek keselamatan agar sebarang kejadian tidak dingini dapat dielakkan terutama terhadap pelancong asing yang mengunjungi pulau tersebut.
Adun Tioman, Datuk Mohd Johari Hussain, berkata, beberapa siri kejadian melibatkan pelancong asing maut di Pulau Tioman sebelum ini sudah tentu sedikit sebanyak menjejaskan namanya sebagai salah sebuah lokasi pelancongan terbaik di Pahang dan Malaysia.
“Saya difahamkan pelancong warganegara Perancis, Jerome Philippe Laurent yang mayatnya telah ditemui terapung semalam (kelmarin) pada mulanya keluar melakukan aktiviti air seorang diri. Jadi, mungkin selepas ini aspek keselamatan seperti menyarankan pelancong melakukan aktiviti secara berkumpulan boleh dilakukan.
“Kejadian seperti ini sudah tentu dapat dielakkan dan sekurang-kurangnya ada saksi terhadap kejadian berkenaan jika pelancong melakukan aktiviti secara berkumpulan. Saya harap pihak berkenaan peka dalam isu seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Felda Selendang 1, di sini, petang kelmarin ketika melawat dan menyampaikan sumbangan kepada wakil –wakil keluarga mangsa ribut yang melanda Felda tersebut pada petang Rabu lalu.
Johari berkata, sumbangan berbentuk kewangan yang diberikan adalah dari Pejabat Exco Belia dan Sukan Pahang serta Adun Tioman manakala barang-barang keperluan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Rompin.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak khususnya kepada jabatan-jabatan kerajaan yang mengambil tanggungjawab membantu mangsa.
“Pihak pengurusan Felda Selendang juga mengambil tindakan segera dengan membuat laporan polis dan membaiki rumah mangsa melalui skim insurans,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor