Pages

Monday, September 8, 2014

PAS NAFI ULAMAK DAN PROFESSIONAL BERCANGGAH

PAS nafi wujud percanggahan pendapat antara ulama dan profesional



KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menafikan wujud percanggahan pendapat antara golongan ulama dan profesional dalam PAS mengenai isu calon menteri besar Selangor.

Beliau menjelaskan, parti itu telah menetapkan keputusan bersama bahawa kerusi menteri besar itu adalah milik PKR dan PAS tidak berhasrat menuntutnya dari rakan mereka itu. 

"Kita tidak pernah bercanggah. (Dalam) mesyuarat tiga jam tadi (Ahad), kita bincangkan semua aspek dan kita bahaskan dengan cukup harmoni dan kita bebas melahirkan pandangan dan akhirnya kita simpulkan dengan satu keputusan," katanya.

Salahuddin ditemui pemberita selepas menghadiri Ijtima PAS Selangor di Seri Kembangan, di sini, pada Ahad, dan diminta mengulas isu pencanggahan pendapat itu.

Sementara itu, dalam satu sidang media di ibu negara semalam, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali memberikan jawapan yang agak berbeza berhubung calon menteri besar itu.

Mohamad berkata PAS akan tetap menolak walaupun istana memilih anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) mereka sebagai menteri besar Selangor yang baharu, sementara Mustafa pula menyatakan bahawa PAS akan bersetuju dengan apa sahaja pilihan sultan.

Ketika diminta mengulas mengenai kenyataan berbeza oleh dua pemimpin tertinggi PAS itu, Salahuddin tidak memberikan jawapan yang jelas sebaliknya mengulangi pendirian parti tidak akan menerima kerusi menteri besar itu.

Beliau berkata, keputusan PAS sebelum ini yang mencalonkan tiga nama untuk menggantikan Abdul Khalid, dibuat bagi menghormati konsep raja berperlembagaan dan titah Tuanku Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahukan lebih daripada dua nama daripada setiap parti PAS, PKR dan DAP untuk calon menteri besar.

Bagaimanapun, Salahuddin berkata parti itu akan tetap menolak jika Sultan Selangor memilih calon dari PAS untuk menggantikan Abdul Khalid.




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor