Pages

Friday, September 5, 2014

KENAPA PKR BERKERAS MAHU SATU NAMA SAHAJA?


Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali

Shah Alam – Tindakan PKR yang tetap menghantar satu nama calon untuk jawatan Menteri Besar Selangor kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah dilihat sebagai mengingkari titah sultan.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata, perbuatan itu memperlihatkan PKR cuba melambatkan pelantikan menteri besar dan memanjangkan krisis itu.

“Saya tak faham kenapa PKR beria-ria sangat mahu memberikan satu nama calon, sedangkan ramai lagi pemimpin dalam PR berkelayakan untuk dilantik sebagai menteri besar.

“Kalau PKR betul-betul sebuah parti yang demokratik mereka akan mendengar permintaan akar umbi dan rakyat, tetapi dalam hal ini saya mengandaikan PKR mempunyai agenda lain,” katanya mengenai tindakan PKR menghantar nama Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah
Wan Ismail sahaja kepada Sultan Selangor, kelmarin, walaupun selepas diminta memberikan lebih nama.

Beliau berkata, Sultan Selangor dilihat cuba menamatkan krisis ini secepat mungkin, namun perbuatan PR dilihat membiarkan perkara ini berlarutan akibat masalah dalaman parti mereka.

“Jika hanya satu sahaja calon dikemukakan ia akan menyebabkan sultan dalam dilema dan serba salah untuk memilih calon menteri besar.

“Berilah peluang untuk sultan memilih. Kalau satu ini sama seperti mandatori dan keadaan ini akhirnya tiada kesudahan,” katanya.

Mohd Fuad berkata, sekiranya Sultan Selangor masih belum menerima calon lain, baginda boleh melanjutkan tempoh kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menerajui negeri itu.

Jelasnya, sultan ada hak berbuat demikian sehingga melantik menteri besar baharu yang benar-benar layak.

“Saya yakin sultan sebenarnya mahukan menteri besar yang berkaliber yang bukan sahaja mampu memajukan negeri Selangor tetapi disukai rakyat serta memenuhi ciri-ciri kepimpinan yang diinginkan baginda,” katanya.

Menurutnya, sekiranya PR gagal mengemukakan nama calon lain selain Dr Wan Azizah, Abdul Khalid boleh mendapatkan nasihat Sultan Selangor untuk membubarkan Dun.

“Itu sahaja jalan penyelesaian yang boleh dilaksanakan sekiranya PKR masih dengan pendirian mereka. Dun boleh bubar, jika Sultan Selangor memberi perkenan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor