Pages

Saturday, July 19, 2014

SUARA BEKAS 'ANAK KAPAL'


Suara bekas 'anak kapal'

SEKALI lagi, Malaysia dikejutkan dengan tragedi malang yang melibatkan pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH17, setelah ditembak dan terhempas di sempadan Rusia-Ukraine.

Belum pun misteri MH370 terungkai, peristiwa ini benar-benar memberi kesan kepada rakyat Malaysia.

Begitu juga dengan mereka yang pernah berkhidmat sebagai kru kabin. Bagi empat selebriti popular, Ziana Zain, Faezah Elai, Danny X-Factor, tragedi itu nyata beri kejutan mendalam buat mereka yang pernah bekerja di awan biru.

'Suami saya mengigil' - Ziana Zain

Pernah berkhidmat selama dua tahun sebagai pramugari, penyanyi terkenal Ziana Zain, meluahkan rasa terkejut di atas insiden MH17. Jelasnya, dia mendapat tahu mengenai perkara itu setelah mendapat mesej daripada rakan suaminya, Armin Zahari yang merupakan seorang pramugara Mas.

“Masa Armin beritahu mengenai tragedi itu, saya lihat tangan dia menggigil.

“Kemudian dia suruh saya buka siaran CNN dan saya sendiri terkejut melihat apa yang dilaporkan di televisyen,” katanya kepada media ketika ditanya mengenai insiden MH17 selepas program bersama Safi Rania Diamond di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia, petang semalam.

Akui duta Safi Rania Diamond ini, suaminya tidak menyangka perkara itu berlaku kepada rakan-rakanya sendiri.

“Mereka baru sahaja berjumpa dan sehingga kini pun saya sendiri masih berhubung dengan rakan-rakan lama.

“Kami memang rajin telefon dan berhubung antara satu sama lain,” kata Ziana yang juga merupakan bekas pramugari di Mas.

Tambah pelantun lagu Madah Berhelah ini, melihat tragedi ini, dia semangnya berasa hiba dan sedih kerana insiden MH 370 masih belum terjawab.

“Memang yang berlaku sudah tertulis, jadi saya minta masyarakat jangan salahkan sesiapa.

“Tak perlu curahkan lagi minyak ke dalam api, lebih baik kita sama-sama doakan mangsa kejadian ini selamat dan tenang di sana,” katanya.

Hentikan spekulasi

Menurut Ziana, ajal dan maut tiada siapa yang tahu dan kita sendiri tidak tahu bila dipanggil ALLAH S.W.T.

“Tak perlu tambah tokok cerita mengenai kejadian ini, bukan masanya kita hendak salahkan sesiapa.

“Apa yang berlaku adalah takdir, yang penting sekarang kita bersatu,” ujarnya.

Tambahnya, bahaya ada di mana-mana bukan ketika menaiki kapal terbang sahaja.

“Bila masuk kawasan perang ni, macam-macam boleh berlaku, hentikan sahaja spekulasi.

“Saya tak nak lihat kerana kejadian ini kita sama-sama manusia bergaduh,” katanya lagi.

Danny risau keselamatan isteri

Insiden MH17 turut dirasai pelakon dan penyanyi, Danny X-Factor, 34, yang juga pernah bertugas sebagai pramugara MAS. Lebih memberi kesan apabila isterinya, Zaidatul Norfazlin Zakaria, 28, masih berkhidmat sebagai pramugari di Air Asia X.

Nyata tragedi demi tragedi yang melibatkan pesawat di negara ini, menimbulkan kerisauannya terhadap keselamatan isteri tersayang.

Danny atau nama sebenarnya, Mohd. Khardanie Anwa, memberitahu, sebaik sahaja insiden terbaru ini berlaku, dia terus menghubungi Zaidatul yang ketika itu berada di Melbourne, Australia.

"Selepas mendengar berita kapal MAS terhempas, hati saya tidak keruan dan bimbang dengan nasib isteri.

"Alhamdulillah, isteri selamat dan tiada apa-apa perkara buruk menimpanya," katanya.

Dek berita tergempar itu juga, Danny tidak dapat melelapkan matanya mengenangkan nasib yang menimpa keluarga dan mangsa yang terlibat dengan kejadian tersebut.

Tambahnya, peristiwa lepas (MH370) membuatkannya lebih peka dengan kejadian seperti itu dan berita terbaharu ini, dia sedar bahawa ajal tidak mengenal sesiapa.

"Semuanya ketentuan Ilahi. Apa yang berlaku kita jadikan iktibar dan muhasabah diri agar sentiasa ingat mati itu bila-bila masa sahaja," katanya.

Sambung Danny, masa yang sama dia juga khuatir dengan teman rapatnya yang merupakan kru kabin MAS berada dalam penerbangan sama.

"Saya cuba hubungi dia selepas pengumuman MH17 terhempas namun tidak berjawab walaupun banyak kali dan setiap kali panggilan dilakukan masuk ke dalam 'voice mail'.

"Selepas beberapa kali mencuba, akhirnya dia menghantar mesej ringkas di aplikasi Whatsapp dan menyatakan dia tidak bertugas dalam penerbangan MH17," katanya lega rakan baiknya itu tidak terlibat sama dalam nahas udara tersebut.

Pernah berdepan situasi cemas

Bercerita mengenai pengalamannya yang pernah berkhidmat selama tiga tahun dengan MAS, Danny berkata banyak pengalaman manis yang dikutip dalam tempoh tersebut.

Danny memberitahu, pendapatannya ketika itu boleh mencecah sehingga RM8,000 dan berpeluang menunaikan umrah di Makkah.

Malah dia berpeluang melancong ke serantau dunia dengan beberapa pesawat jenis Boeing 737, Airbus 200, Airbus 300, Boeing 777 dan Boeing 747.

Bagaimanapun, tugas di awan biru bukanlah semudah yang disangka atau sekadar meraih keseronokan semata-mata. Ujar Danny dia pernah melalui saat getir apabila pesawat yang dinaiki berdepan cuaca buruk dan hujan lebat. Situasi itu menyebabkan perjalanan pesawat tidak lancar dan menimbulkan rasa panik di kalangan penumpang.

"Sebagai anak kapal, saya dilatih untuk menghadapi situasi seperti ini.

"Apa saja kecemasan yang berlaku, saya perlu mengawal situasi agar tidak berlaku huru-hara dalam kapal," katanya.

Danny berkata, dia juga pernah berdepan situasi di mana pesawat tidak dapat mendarat tetapi berlegar-legar di udara buat seketika sehingga pendaratan dibenarkan. Jauh di sudut hati, dia juga khuatir dan cemas dengan apa yang bakal dihadapi. Namun tanggungjawab sebagai kabin kru membuatkan dia cekalkan hati.

"Ketika ini, penumpang tertanya-tanya dengan apa yang berlaku di luar sana. Sebagai langkah berjaga-jaga, kami akan melayan persoalan mereka dengan tenang dan menyuruh penumpang untuk memakai tali pinggang keselamatan," ujarnya.

Keputusan 'berhenti' memang tepat - Faezah Elai

Bersimpati dengan mangsa dan ahli keluarga yang terlibat dalam nahas MH17, pelakon Faezah Elai, menyifatkan insiden ini sebagai satu trauma yang besar buat seluruh masyarakat Malaysia. Bagaimanapun dia tetap bersyukur rakan-rakan seangkatannya ketika bertugas dengan MAS tidak terlibat dalam kejadian itu.

Menurut Faezah, kebanyakan kru yang bertugas dalam penerbangan itu merupakan 'juniornya'. walaupun tidak mengenali secara rapat, namun dia tetap bersimpati dengan apa yang berlaku. 

Malah dia benar-benar terkejut sebaik sahaja berita nahas itu diumumkan di media massa dan elektronik.

"Dalam hati saya ketika itu, saya yakin keputusan untuk berhenti kerja dengan MAS adalah tindakan tepat.

"Mendengar berita ini sahaja, badan saya menggigil dan perasaan takut tiba-tiba datang.

"Saya sedar ajal itu di tangan ALLAH SWT dan saya bersimpati dengan apa yang berlaku," katanya.

Tidak menyalahkan mana-mana pihak, Faezah berkata pihak pengurusan MAS sangat tegas dan prihatin dalam hal berkaitan keselamatan. Tegasnya, sikap segelintir individu yang cuba menyalahkan MAS dalam hal ini adalah sesuatu perkara yang tidak wajar sama sekali.

"Mati itu pasti. Kalau sudah ditakdirkan kita tidak mungkin dapat lari daripada maut.

"Paling penting, jangan salahkan MAS dalam perkara ini sebagaimana yang berlaku ketika kejadian MH370," katanya.

Atasi situasi panik

Sementara itu, Faezah turut berkongsi pengalamannya ketika berhadapan dengan situasi mencemaskan ketika bertugas.

Katanya, dek cuaca buruk, lampu pesawat tiba-tiba terpadam dan tempat simpanan barang terbuka menyebabkan beg-beg penumpang jatuh.

"Saya tidak panik atau fikir perkara buruk menimpa kami sebaliknya dengan tenang membantu menyimpan semula barangan.

"Mungkin sudah terbiasa dengan cuaca sebegitu, saya rasakan tiada apa yang perlu ditakutkan," katanya yang bertugas selama tiga tahun dengan MAS

Dalam masa yang sama, dia juga berkesempatan 'terbang' jauh hingga ke New York. Antara pesawat yang dinaikinya dalam tempoh itu adalah Boeing 737, 777 dan 747.

Kata pelakon filem Tanda Putera itu, dia menjalani sesi 'briefing' sebelum terbang dan jika gagal menjawab soalan yang diajukan Ketua Pramugara atau juruterbang, tidak dibenarkan sertai penerbangan itu.

"Ketika bertugas, saya seolah-olah otak 'dicuci' dan sentiasa positif jika berhadapan dengan perkara sebegini.

"Perasaan takut atau gementar tidak pernah terlintas di fikiran sebaliknya mahu melakukan tugas dengan sebaik mungkin," ujarnya.

Nazim tak serik ke luar negara

Biarpun ketika ini ramai yang takut untuk ke luar negara, berbeza dengan pelakon, Nazim Othman yang tidak serik untuk ke luar negara.

Walaupun terkejut dengan apa yang berlaku, Nazim menegaskan perkara tersebut tidak menjejaskan percutiannya nanti.

Bahkan, dia sempat berseloroh bahawa mahu menempah tiket penerbangan untuk bercuti selepas raya ini.

"Bagi saya, peristiwa ini tidak mengganggu aktiviti pelancongan saya. Bahkan selepas Syawal nanti, saya ingin terbang ke luar negara untuk bercuti.

"Selepas kejadian MH370, saya tidak menyangka Malaysia akan dilanda satu lagi kejadian menyayat perasaan.

"Saya juga mohon kepada mereka yang di luar sana agar tidak mengulangi kejadian lepas. Jangan sebarkan sebarang spekulasi sebaliknya tunggu pengumuman daripada pihak berkuasa," katanya.

Dia juga berharap perkara ini tidak dijadikan sebagai bahan politik atau gurauan semata-mata.

"Hormati perasaan keluarga mangsa yang terlibat dengan kemalangan ini," katanya.

Masyarakat perlu positif

Menurut Nazim, sepanjang dia berkhidmat dengan MAS selama lima tahun sebagai pramugara, tiada peristiwa yang begitu menakutkan terjadi kepadanya.

"Pengalaman seperti cuaca buruk adalah perkara biasa yang berlaku. Setiap kru kabin pasti akan mengalaminya.

"Gegaran kuat atau 'air pocket' merupakan situasi yang sering dihadapi ketika bertugas tidak kira ke mana destinasi," katanya.

Tambahnya, sepanjang bertugas sebagai kabin kru tidak ada pula kejadian nahas udara melibatkan pesawat Malaysia.

"Jika sebelum ini kita diuji dengan kehilangan MH370, kali ini pula dengan berita MH17 terhempas di sempadan Rusia-Ukraine.

"Walaupun tidak mengalami pengalaman buruk atau detik cemas, saya berharap selepas ini tiada lagi perkara sebegini berlaku," katanya.

Dia percaya setiap apa yang berlaku ada hikmah yang tersembunyi.

"Mungkin ALLAH SWT mahu menguji kita. Sebaik-baiknya kita teruskan berdoa agar semuanya berjalan dengan lancar," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor