Sepang - Pesawat MH17 yang terhempas pada Khamis lalu sepatutnya terbang setinggi 35,000 kaki di udara, namun disebabkan trafik udara yang sedikit sesak, pesawat tersebut diarah terbang pada ketinggian 33,000 kaki.
Turut mengesahkan kenyataan tersebut, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini berkata, sebanyak 400 pesawat komersial termasuklah 150 penerbangan antarabangsa telah melintasi selatan Ukraine sebelum tragedi nahas tersebut berlaku.
Malah sebelum itu, seorang pegawai dari Agensi Kawal Selia Pengangkutan Udara Eropah (Eurocontrol) turut menyatakan sebanyak 75 pesawat berasingan telah menggunakan laluan yang sama digunakan oleh MH17 sejak dua hari lalu.
"MH17 sepatutnya diterbangkan pada ketinggian 35,000 namun apabila berlaku kesesakan trafik di ruang udara, pusat kawalan udara pada hari itu telah mengarahkan pesawat tersebut terbang pada ketinggian 33,000 kaki.
"Dalam apa jua keadaan, juruterbang sesebuah pesawat harus mematuhi arahan yang diterima dari pusat kawalan trafik udara," katanya.
Beliau dalam pada itu turut menegaskan bahawa MH17 tidak tersasar dari laluan asal seperti yang didakwa.
"Laluan pesawat MH17 adalah antara laluan udara yang sangat sibuk. Sama seperti lebuhraya di udara. Pesawat tersebut mematuhi laluan udara yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa penerbangan antarabangsa yang dilulukan oleh Eurocontrol dan digunakan oleh beratus pesawat yang lain.
"Ia terbang dengan altitude yang telah diarahkan oleh pusat kawalan trafik udara dan tidak pernah tersasar dari landasan sebenar," tegasnya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor