Kuala Lumpur - Kerajaan-kerajaan negeri turut membatalkan atau menangguhkan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri 2014, ketika negara diselubungi kesedihan dengan nahas pesawat MH17 yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal.
Pembatalan atau penangguhan itu juga selaras dengan keputusan pembatalan Majlis Rumah Terbuka Anggota Jemaah Menteri Aidilfitri 2014 yang diumumkan pejabat Perdana Menteri semalam.
Kabinet juga bersetuju membatalkan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia 2014 anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan yang dijadual diadakan di Rembau, Negeri Sembilan.
Walaupun seluruh negara sedang bersedih atas tragedi ini, umat Islam masih disyariatkan untuk meraikan Aidilfitri setelah sebulan mengerjakan ibadat berpuasa di bulan Ramadan dengan sempurna dan kembali ke jalan fitrah Ilahi.
Majlis sambutan Aidilfitri tahun ini masih boleh diadakan tetapi perlulah bersederhana dan penuh tertib.
Pesawat MH17, dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang membawa 298 penumpang dan anak kapal termasuk 43 warga Malaysia, terhempas di wilayah Donetsk di timur Ukraine pada 17 Julai. Pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat itu ditembak jatuh.
Di JOHOR BAHRU, rumah terbuka Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang sepatutnya diadakan pada 1 Syawal di kediaman rasminya di Saujana telah ditangguhkan ke 3 Ogos.
Mohamed Khaled menerusi Twitternya berkata majlis itu diadakan di Stadium Tertutup Pasir Gudang mulai 11 pagi hingga 3 petang.
"Keputusan ini dibuat bagi menghormati kejadian yang menimpa pesawat MH17," katanya.
Di MELAKA, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron mengumumkan kerajaan negeri telah mengambil keputusan menangguhkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang dijadualkan pada 1 Syawal di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka.
Sebaliknya, beliau menerusi kenyataan hari ini berkata majlis itu akan diadakan pada 9 Ogos di tempat yang sama bermula jam 10.30 pagi hingga 4 petang.
Di KUALA TERENGGANU, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman rasmi Seri Iman yang dijadualkan 1 Syawal turut dibatalkan.
Di LABUAN, Anggota Parlimen Labuan Datuk Rosman Isli berkata Rumah Terbuka Aidilfitri Labuan dibatalkan atas arahan Kementerian Wilayah Persekutuan selaras dengan keputusan Kabinet.
Rumah Terbuka Aidilfitri diadakan setiap tahun oleh Perbadanan Labuan dengan dihadiri semua lapisan masyarakat.
Di SEREMBAN, Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sembilan dijadualkan pada 1 Syawal di perkarangan Dewan Undangan Negeri dibatalkan, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Bagaimanapun, katanya rumah terbuka beliau sempena Aidilfitri di Kampung Tanjung, Rantau, pada 2 Ogos akan diadakan mengikut jadual dari 10 pagi hingga 5 petang.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor