Pages

Sunday, July 27, 2014

DIBERI AMARAN GARA-GARA SAVE GAZA


Tertera perkataan 'Save Gaza' di sarung tangan Azizulhasni semasa menyertai acara sprint di Glasgow, semalam.

Pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang diberi amaran namun dibenar berlumba oleh Jawatankuasa Sukan Komanwel apabila tampil dengan menyampaikan mesej ‘Save Gaza’ dengan cara tersendiri semasa acara di velodrome Glasgow, awal pagi semalam.

Semalam ketika menyertai perlumbaan sprint lelaki, Azizul menyarung sarung tangan bertulis ‘Save’ dan ‘Gaza’ di tangannya.

Pelumba Terengganu itu sempat menunjukkan isyarat bagi menjelaskan maksud tulisan tersebut di hadapan kamera.

Ia dirakamkan selepas perlumbaan yang membawanya ke pusingan suku akhir.

Sementara itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memuji sikap berani yang ditunjukkan Azizulhasni.

Presidennya, Amidi Abd Manan berkata, Azizulhasni jelas merupakan wira umat dan sekaligus wira kemanusiaan.

“Beliau mewakili generasi muda Malaysia tanpa mengira latar agama dan bangsa menyertai umat dunia membantah pemerkosaan kemanusiaan oleh rejim Zionis.

“Seharusnya pihak penganjur Sukan Komanwel berbangga dengan tindakan Azizulhasni ini yang menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin,” katanya.

Katanya, Gaza bukanlah konflik politik biasa tetapi pencabulan hak kemanusiaan yang amat buruk.

“Tiada rekod seburuk Israel dalam perihal Hak Asasi Manusia yang membunuh tanpa belas dan merampas tanah rakyat Palestin.

“Sukan adalah medium membina perpaduan dan kemanusiaan. Justeru tindakan Azizulhasni adalah demi memartabatkan kemanusiaan,” katanya.

Amidi berkata, penghargaan dan penghormatan perlu diberikan terhadap Azizulhasni yang mempertaruhkan masa depan kerjayanya dan juga mungkin keselamatan dirinya demi menyelamatkan Gaza dan kemanusiaan.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor