Pages

Sunday, June 29, 2014

KUANTAN PANTAU RUMAH TUMPANGAN TIADA LESEN



KUANTAN – Kewujudan ‘homestay’ atau Inap Desa di sekitar daerah ini ibarat cendawan tumbuh selepas hujan bertujuan meningkatkan industri pelancongan dalam negara.

Bagaimanapun, ada pihak mengambil kesempatan menjadikan rumah mereka sebagai ‘homestay’ di pelbagai lokasi termasuk taman perumahan walaupun sebenarnya rumah tersebut lebih cenderung kepada rumah tumpangan.

Yang Di Pertua Majlis Perbadaran Kuantan (MPK), Datuk Zulkifli Yaacob berkata, pemilik ‘homestay’ perlu berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, sebaliknya, rumah tumpangan perlu memohon lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk terus beroperasi.

Menurutnya, kebayakan rumah tumpangan di sekitar daerah ini tidak mempunyai lesen perniagaan yang boleh menyebabkan pelbagai risiko bukan sahaja kepada pemilik tetapi ancaman kepada si penyewa.

“Jika keadaan ini terus berlaku tanpa pengawasan daripada pihak berkuasa, saya khuatir pemilik sewenangnya memberi sewa kepada mana-mana individu yang boleh melakukan pelbagai salah laku di rumah tumpangan tersebut.

“Dalam masa yang sama juga, jika berlaku bencana atau kemalangan di rumah tersebut, tiada insurans yang dapat dituntut oleh pemilik gara-gara tiada lesen perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepa mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPK kali 4/2014 di sini semalam.

Zulkifli berkata, pihaknya akan membuat pemantauan ke lokasi menyiasat mengenai pemilik rumah tumpangan yang masih belum memperoleh lesen perniagaan.

“Kebiasaannya pemilik ‘homestay’ akan mengadakan pelbagai aktiviti berkaitan pelancongan di kawasan rumah tersebut seperti menoreh getah, kait buah kelapa sawit dan lain-lain lagi untuk menarik pelancong datang.

“Tetapi rumah tumpangan yang ada ini tidak menyediakan semua pakej tersebut yang menyebabkan mereka berniaga tanpa lesen perniagaan,” katanya.

Justeru itu, beliau berharap agar pemilik rumah tumpangan segera mendapatkan lesen perniagaan mereka di MPK dengan bayaran lebih kurang RM150 setahun bagi untuk terus beroperasi.



No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor