Pages

Sunday, June 29, 2014

HASRAT PUASA BERSAMA ISTERI TAK KESAMPAIAN


Afif Syazwan duduk di sisi mayat isterinya yang maut akibat nahas jalan raya di Tanjung Lumpur, semalam.

Kuantan – Hasrat seorang suami, Afif Syazwan Uugust, 23, untuk menyambut kedatangan Ramadan bersama isteri tercinta tidak kesampaian apabila teman hidupnya, Sarimah Abdul Razak, 22 terkorban dalam satu kemalangan jalan raya, di hadapan Petronas Jalan Tanjung Lumpur, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.38 pagi itu, Sarimah yang membonceng motosikal ditunggang suaminya meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian selepas bertembung dengan sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Honda Civic yang keluar dari Petronas di kiri jalan telah menyeberang ke kanan jalan untuk membuat pusingan U dan berlanggar dengan motosikal yang dinaiki pasangan suami isteri muda berkenaan.

Menurutnya, motosikal yang dibonceng mangsa bersama suami datang dari arah Tanjung Lumpur. Pertembungan itu menyebabkan mangsa cedera parah dan kemudiannya meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke hospital.

“Manakala suaminya yang beralamat di Taman Seriku Baru 12, Jalan Gambang turut mengalami kecederaan akibat kemalangan itu.

“Difahamkan keadaan laluan di tempat kejadian ialah jalan sehala tiga lorong dan kawasan membuat pusingan U. Keadaan cuaca baik dan jalan kering. Punca kematian dan kemalangan masih dalam siasatan. Kes ini di siasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya kepada media semalam.

Sementara itu, adik mangsa, Mariam Abdul Rahman, 18, berkata, arwah kakaknya meninggalkan dua anak berusia lima dan tiga tahun.

“Kakak dan suami tinggal berasingan dari keluarga, manakala kedua-dua anaknya ditinggalkan bersama ibu mertuanya di Batu 12 kerana dia juga bekerja.

“Saya terkejut mendengar berita tentang kematiannya kerana sudah beberapa bulan tidak bertemu dengannya dan kali terakhir adalah pada Februari lalu,” katanya.

Sumber

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor