Batu Pahat - Penduduk di Pura Kencana, Sri Gading di sini, digemparkan dengan bunyi dentuman kuat berpunca daripada kebakaran yang berlaku dalam Pencawang Pintu Masuk Utama TNB Batu Pahat Timur, petang kelmarin.
Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali Salmah, 45, berkata, ketika kejadian itu, hujan lebat diikuti guruh dan petir mendorongnya mengambil keputusan untuk berada di rumah walaupun pada mulanya ingin ke kedai berhampiran.
“Tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat beberapa kali menyebabkan saya terus keluar rumah untuk mengetahui perkara sebenar yang berlaku.
“Saya nampak jiran berkumpul dan mereka memberitahu pencawang TNB berhampiran kawasan perumahan kami terbakar. Dari jauh kelihatan api mula marak dan asap hitam memenuhi ruang udara,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Timah Sari, Mohd Fauzi Md Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran itu jam 6.05 petang, kelmarin.
Menurutnya, dengan kekuatan 11 anggota, dua jentera dan sebuah kenderaan utiliti mereka bergegas ke lokasi dengan dibantu tujuh anggota Pasukan Bomba Sukarela Sri Gading bersama satu jentera.
Jelasnya, api berjaya dikawal sepenuhnya lebih kurang 11 jam selepas kebakaran iaitu kira-kira jam 5.30 pagi, semalam.
“Kebakaran yang berlaku melibatkan tangki simpanan diesel pihak TNB dan tidak melibatkan bahan penting dalam pencawang terbabit, selain pengguna sekitar tidak mengalami gangguan bekalan elektrik.
“Pihak bomba masih menyiasat punca sebenar kebakaran dan anggaran kerugian yang dialami pihak TNB juga masih disiasat,” katanya.

No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor